Resepi Kek Batik Coklat Yang Mudah Untuk Dibuat- Lazatnya!

Resepi Kek Batik Coklat aliff.co | Karya Aliff Mazli Blogger Malaysia

Resepi Kek Batik Coklat

Kek batik coklat adalah di antara menu pilihan apabila ada jamuan seperti pot luck. Ia juga menjadi pilihan utama untuk dijamu kepada tetamu yang bertandang seperti ketika hari raya. Antara sebab kenapa ia menjadi kesukaan adalah kerana resepi kek batik coklat ini sangat ringkas & mudah untuk sediakan. Lebih-lebih lagi, kek batik coklat adalah sejenis “no bake cake” yang tidak memerlukan ia dimasak. Kalau anda baru ingin mula berjinak-jinak dengan memasak dan membuat kek, maka kek ini sememangnya sesuai untuk dicuba!

Bahan-Bahan Resepi Kek Batik Coklat

Berikut adalah senarai bahan-bahan utama yang diperlukan untuk membuat kek. Namun begitu, resepi yang disediakan hanyalah bahan asas kek ini. Anda bebas untuk membuat eksperimen sendiri dengan menambahkan bahan-bahan lain sebagai ramuan di dalam resepi kek batik coklat anda untuk memeriahkan rasanya. Mungkin anda berkeinginan untuk menambahkan karamel, strawberi ataupun buah sebagai topping nanti.

  • Biskut Marie – 1 paket
  • Marjerin / mentega – 1 buku
  • Serbuk Milo – 2 cawan
  • Serbuk koko – 2 sudu besar
  • Susu pekat manis – separuh tin kecil

Langkah Membuat Kek Batik Coklat Biskut Marie

1. Penyediaan Awal Kek Batik

  • Sediakan loyang dan alaskannya menggunakan plastik terlebih dahulu. Pastikan plastik yang disediakan adalah bersaiz besar berbanding loyang. Tujuannya adalah untuk memudahkan kek dikeluarkan setelah siap nanti.
  • Patahkan biskut Marie menjadi serpihan yang lebih kecil mengikut kemahuan dan letak di dalam bekas berasingan. Ianya boleh dipatah dua, empat, enam, ataupun mana-mana nombor yang anda suka. Tapi, jangan sampai hancur tahap suci dalam debu pula.

2. Masakan Ringkas Kek Batik

  • Ambil kuali dan isikan marjerin di dalamnya.
  • Letakkan kuali berisi marjerin tadi di atas dapur dan cairkan marjerin itu menggunakan api yang kecil. Gaulkan perlahan-lahan untuk mempercepatkan proses pencairan.
  • Sebaik sahaja marjerin cair dengan sepenuhnya, masukkan susu pekat manis dan gaulkan hingga sebati.
  • Ambil serbuk Milo dan masukkan ke dalam kuali. Tuangkan serbuk Milo sedikit demi sedikit sambil menggaul untuk memastikan adunan sebati dan tidak berketul-ketul.
  • Masukkan pula serbuk koko dan gaulkan juga sehingga sebati sehingga tiada ketulan kelihatan. Anda disarankan untuk menggunakan hand whisk bagi mempercepatkan proses sebatian.
Resepi Kek Batik Coklat
Ini dia hand whisk. Sorry saya tak tahu nama Melayu benda alah ni. Bila saya cuba Google Translate, jawapannya “pemukul tangan” la pulak.
  • Selepas adunan sebati, matikan api dapur dan tuangkan sedikit adunan ke dalam loyang sebagai lapisan paling bawah. Kalau anda mahu, anda juga boleh letakkan biskut dahulu.

3. Penyediaan Kek Batik Coklat

  • Lapiskan kek tadi berganti-ganti dengan lapisan coklat dan biskut Marie. Terpulang kepada selera anda untuk tentukan sama ada untuk meletakkan lapisan coklat ataupun biskut Marie yang lebih tebal.
  • Ambil sudu atau apa-apa alatan masakan yang mempunyai permukaan rata dan tekan di atas kek tersebut untuk memadatkannya.
  • Untuk topping, anda boleh lakukan sesuatu yang kreatif untuk menambahkan rasa dengan meletakkan bahan-bahan lain seperti ganache coklat, cheese, sprinkles dan sebagainya. Lihat ni, topping Oreo pun boleh!

Resepi Kek Batik Coklat Topping Oreo

  • Setelah proses ini selesai, masukkan kek itu di dalam peti ais untuk disejukkan selama lebih kurang 4 jam.

Voila, Kek Batik Coklat Sedia Untuk Dihidang!

Voila! Kek anda telah pun sedia untuk dihidangkan. Keluarkan kek daripada loyang dan dipotong dengan kemas. Kemudian, aturkan kek anda secantik mungkin. Jadi, kena buat ala-ala seni kulinari, barulah nampak menggiurkan.

Resepi Kek Batik Coklat aliff.co

Cubalah resepi ini sendiri dan kongsikan hasilnya bersama kami!


Anda juga mungkin berminat dengan topik-topik menarik ini:


Lagi Idea Resepi Kek Batik Yang Menarik

Sila tonton video ini untuk mendapatkan idea bahan-bahan sampingan untuk ditambah di dalam resepi kek batik coklat. Di dalam video ini, kismis dan almond nib ditambah untuk mempelbagaikan rasa kek.


 

Komen Facebook