Resepi Nasi Ayam Yang Lazat Hingga Menjilat Jari!

Resepi Nasi Ayam Paling Sedap aliff.co

RESEPI NASI AYAM

Nasi ayam adalah satu menu yang digemari ramai. Secara peribadi, saya menyukai resepi nasi ayam kerana ianya mudah, lebih-lebih lagi apabila saya menghadapi hari-hari yang sibuk. Sememangnya sukar untuk memikirkan apa nak dimakan, lauk apa hendak diambil. Tetapi, nasi ayam adalah sangat mudah kerana ianya mempunyai rasa yang lebih standard.

Walaupun banyak kedai-kedai di luar sana menjual nasi ayam, malahan ada francais Chicken Rice Shop yang menu utamanya adalah nasi ayam (sudah terang lagikan bersuluh, lihat sajalah namanya), sememangnya nasi ayam yang dimasak sendiri adalah lebih sedap. Bak kata orang, makanan yang dibuat sendiri itu kita boleh rasa “kasih sayang”nya, tak gitu?

Terdapat pelbagai jenis nasi ayam yang ada, seperti nasi ayam hainan dan lain-lain. Untuk entri kali ini, saya akan berkongsi resepi nasi ayam biasa dengan anda- stail masakan yang biasanya dihidang di rumah, ketika jamuan di luar mahupun dijual di restoran.

Nasi ayam biasanya datang di dalam satu set yang terdiri daripada:

  • Nasi
  • Ayam
  • Sup
  • Kicap
  • Sos

Marilah belajar cara menyediakan bahan-bahan untuk 5 komponen utama nasi ayam!


Resepi Nasi Ayam aliff.co

Bahan-Bahan Resepi Nasi Ayam

Berikut adalah senarai bahan-bahan yang perlu ada untuk memasak nasi ayam yang lazat.

Bahan Penyediaan Nasi

  • Air rebusan ayam (4 cawan)
  • Bawang putih (3 ulas, ditumbuk halus)
  • Bawang goreng
  • Beras (3 cawan)
  • Buah pelaga (2 biji)
  • Bunga lawang (2)
  • Daun pandan (2 helai)
  • Daun salam (1 helai)
  • Garam
  • Gula
  • Halia (2cm, ditumbuk halus)
  • Kayu manis (1)
  • Mentega (2 sudu besar)
  • Serbuk ayam
  • Susu full cream

Bahan Penyediaan Ayam

  • Ayam (1 ekor, dipotong 8 kerat)
  • Bawang putih (2 ulas, ditumbuk halus)
  • Halia (2cm, ditumbuk halus)
  • Kicap cair
  • Kicap manis
  • Madu
  • Minyak bijan
  • Sos tiram

Bahan Penyediaan Sup

  • Air rebusan ayam
  • Bawang goreng
  • Daun sup (dihiris)
  • Garam
  • Jeruk kubis
  • Serbuk ayam

Bahan Penyediaan Sos

  • Air rebusan ayam
  • Bawang putih (5 ulas)
  • Cili merah (5 biji)
  • Cuka (1 sudu teh)
  • Garam (1 sudu teh)
  • Gula (1 sudu teh)
  • Halia (2cm)

Bahan Penyediaan Kicap

  • Air rebusan ayam
  • Bahan perapan (sisa menyediakan ayam)
  • Garam
  • Kicap manis

Sudah ada semua bahan yang diperlukan? Baik, mari kita mula memasak nasi ayam! 🙂


Resepi Nasi Ayam Paling Lazat daripada aliff.co

Cara Penyediaan Resepi Nasi Ayam

Memasak Nasi

  1. Masukkan beras di dalam bekas untuk dicuci. Kemudian, buang airnya dan masukkan beras ke dalam rice cooker.
  2. Ambil periuk, letakkan di atas dapur dan isikan halia yang sudah dikisar halus, bawang putih yang telah ditumis, dan mentega. Seterusnya, masukan pula buah pelaga, daun pandan, daun salam, kayu manis, dan juga bunga lawang.
  3. Tunggu sehingga bau naik. Setelah naik bau harum, masukkan separuh daripada air rebusan ayam, susu full cream, gula, garam, dan serbuk ayam ke dalam periuk.
  4. Matikan api dapur sambil tunggu nasi mendidih. Jika sudah mula mendidih, tuang bahan-bahan campuran tadi ke dalam rice rooker dan tunggu sehingga nasi masak.
  5. Lepas nasi masak, pindahkan ke dalam dulang hidangan.
  6. Hiaskan nasi dengan bawang goreng.

Menyediakan Ayam

  1. Blend halia bersama-sama bawang putih.
  2. Kemudian, perapkan ayam dengan bahan tadi selama setengah jam.
  3. Masukkan air ke dalam periuk dan hidupkan api. Tunggu sehingga mendidih.
  4. Setelah air mendidih, masukkan ayam yang diperap tadi ke dalam periuk. Jangan lupa untuk memperlahankan api sedikit. Selepas itu, tunggu sehingga ayam menjadi separuh masak.
  5. Sambil menantikan ayam tersebut manjadi separuh masak, siapkan bahan perapan kedua, iaitu daripada campuran kicap cair, kicap manis, sos tiram, minyak bijan dan juga madu di dalam satu bekas.
  6. Sebaik sahaja ayam kelihatan separuh masak, alihkan pula ke dalam bahan perapan tadi dan biarkan selama satu jam.
  7. Selepas itu, anda perlu menggoreng ayam yang diperap tadi sehingga ayam tenggelam di dalam minyak. Pastikan tahap api adalah sederhana.
  8. Sebaik sahaja ia masak, angkat dan buangkan minyak dengan cara menggantung dan tos.
  9. Sesudah minyak dibuang, anda bolehlah memotong dan menghidangkannya.

Membuat Sup

  1. Ambil air rebusan ayam dan masak semula.
  2. Masukkan garam, serbuk ayam dan jeruk kubis.
  3. Kemudian, hiriskan bawang goreng dan daun sup. Taburkan ke dalam sup sewaktu menghidang.

Menyediakan Sos

  1. Sediakan kuali. Kemudian, masukkan halia, bawang putih & cili merah.
  2. Masukkan air rebusan ayam. Selepas itu, masukkan garam, cuka & gula secukup rasa. Pastikan api dapur dikecilkan.
  3. Gaulkan campuran tadi sehingga menjadi likat.

Memasak Kuah Kicap

  1. Sediakan kuali. Selepas itu, ambil campuran perapan kedua tadi (semasa memasak ayam) dan dimasak hingga mendidih.
  2. Selepas mendidih, kicap bolehlah diangkat dan disediakan di dalam mangkuk atau bekas hidangan.

Nampak rumit? Masaklah dahulu baru tahu. Cubalah resepi nasi ayam ini dan rasakan sendiri hasilnya! Kepada yang pertama kali ingin belajar memasak, resepi ini sangat sesuai untuk anda kerana ia tidak terlalu susah dan tidak juga terlalu ringkas. Jadi, kalau nak show-off anda pandai memasak tu, orang percaya la. hehehe.


Anda juga mungkin berminat dengan entri-entri ini:


Ingin Tonton Video Tutorial Resepi Nasi Ayam?

Sila tonton video ini untuk belajar cara memasak resepi nasi ayam di rumah melalui video!

Komen Facebook