Solat Dhuha Beserta Doa | Panduan Lengkap

Cara Solat Sunat Dhuha - Panduan Lengkap daripada aliff.co | Karya Aliff Mazli Blogger Malaysia

Solat Dhuha dan Doa Solat Sunat Dhuha

Solat sunat dhuha adalah salah satu daripada amalan solat-solat sunat yang digalakkan untuk dilakukan. Ianya dipanggil solat dhuha kerana waktu untuk melakukan solat ini dikhususkan untuk dikerjakan pada waktu dhuha sahaja.

Daripada Abu Dzar R.A., Rasulullah ﷺ bersabda:

“Hendaklah masing-masing di antara kamu setiap pagi bersedekah untuk setiap ruas tulang badanmu. Maka tiap kali bacaan tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, dan setiap takbir adalah sedekah. Menyuruh kebaikan adalah sedekah, mencegah keburukan juga adalah sedekah. Dan sebagai ganti daripada itu semua, cukuplah mengamalkan dua rakaat solat Dhuha.”- Hadith riwayat Ahmad, Muslim dan Abu Daud

Waktu Solat Dhuha

Pengiraan waktu dhuha mengikut kaedah astronomi adalah berdasarkan formula waktu Syuruk ditambah 1/3 perbezaan di antara waktu Syuruk dan waktu Subuh. Secara amnya, waktu dhuha akan bermula 28 minit selepas waktu Syuruk dan berakhir sejurus selepas masuknya waktu Zohor. Namun begitu, para ulama’ mengatakan bahawa waktu yang terbaik untuk mengerjakan solat dhuha adalah di dalam lingkungan jam 9:30 pagi.


Cara Solat Sunat Dhuha

Jumlah Rakaat

Solat sunat dhuha perlu dilakukan sebanyak 2 rakaat untuk setiap kali solat, dan ianya boleh dilakukan sehingga 6 kali solat (jumlah 12 rakaat) setiap hari.

Niat Solat Dhuha

Niat solat dhuha adalah seperti berikut:

niat solat sunat dhuha

(Rumi: Usolli sunnataddhuha rok’ataini lillahi ta’ala)

Maksud: Sahaja aku solat sunat dhuha 2 rakaat kerana Allah ta’ala.

Bacaan Surah Di Dalam Solat

Tiada penetapan khas untuk pembacaan surah bagi solat ini. Namun begitu, pembacaan surah-surah tersebut amatlah digalakkan:

Rakaat Pertama | Surah As-Shams

 surah bacaan solat dhuha

Rakaat Kedua | Surah Dhuha

surah bacaan solat dhuha

 

Bacaan Surah untuk Solat Dhuha Melebihi 2 Rakaat

Sekiranya anda ingin melakukan lebih daripada 2 rakaat, adalah disarankan untuk membaca Surah As-Shams & Surah Dhuha untuk 2 rakaat pertama, diikuti dengan Surah Al-Kafirun & Surah Al-Ikhlas untuk rakaat-rakaat seterusnya.

Bacaan Lain Di Dalam Solat & Bacaan Ketika Sujud

Bacaan-bacaan lain di dalam solat adalah sama seperti solat biasa. Namun begitu, sewaktu anda melakukan sujud terakhir, setelah selesai membacakan tasbih sujud biasa, sebelum duduk untuk tahiyat akhir, bacalah doa ini sebanyak 40 kali:

bacaan solat sunat dhuha

(Rumi: Wahabli ya wahhab, ilman wahikmatan warzuqni ya rozzaq, kulli musahhala)

Maksudnya: Berikanlah kepadaku, wahai Tuhan yang maha memberi akan ilmu dan hikmah dan murahanlah rezeki kepadaku, wahai Tuhan yang maha pemberi rezeki. Jadikanlah ia mudah bagiku.

Doa Selepas Solat Sunat Dhuha

Berikut adalah bacaan doa selepas solat dhuha:

 doa solat sunat dhuha

Rumi: Allahumma innaddhuhaa’a dhuhaa uka, walbahaa’a bahaa uka, waljamaala jamaaluka, walquwwata quwatuka, walqudrota qudrotuka wal’ismata ‘ismatuka. Allahumma inkaana rizqi fissamaa’i fa’anzilhu, wa’inkaana fil ardhi fa’akhrijhu wa’in kaana mu’assiron fayassirhu, wa’in kaana harooman fathohhirhu, wa’inkaana ba’idan faqorribhu, bihaqqi dhuhaa ika wabahaa ika wajamaalika waquwwatika waqudrotika aatini maa ataita ‘ibaadakassolihiin.

Maksudnya: Ya Allah, bahawasanya waktu dhuha itu waktu dhuhaMu, kecantikan ialah kecantikanMu, keindahan ialah keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu, kekuasaan itu kekuasaanMu, dan perlindungan itu perlindunganMu. Ya Allah, jika rezekiku masih di atas langit, turunkanlah. Jika ada di dalam bumi, keluarkanlah. Jika sukar, mudahkanlah. Jika haram, sucikanlah. Jika masih jauh, dekatkanlah. Berkat waktu dhuha, keagungan. keindahan, kekuatan, dan kekuasaanMu, limpahkanlah kepadaku segala yang telah Engkau limpahkan kepada hamba-hambaMu yang soleh.

Dengar Bacaan Doa Solat Sunat Dhuha

*Sentuh/tekan butang “play” untuk mendengar bacaan doa selepas solat dhuha daripada kumpulan nasyid UNIC.


Kelebihan Solat Dhuha

Solat sunat dhuha adalah di antara satu jenis amalan yang boleh memberikan ganjaran kepada mereka yang mengerjakannya. Dengan bersolat, seseorang itu akan mendapat keampunan daripada Allah S.W.T. Selain itu, sepertimana yang disebut di dalam doa, si pengamal yang memperoleh rezeki yang melimpah ruah dan hati yang tenang. Harus diingatkan di sini bahawa rezeki tidak semestinya datang di dalam bentuk wang ringgit sahaja. Ia boleh juga datang di dalam pelbagai bentuk, seperti deberikan kesihatan tubuh badan, rezeki yang sederhana menjadi cukup, mahupun perut yang tidak pernah kelaparan. Subhanallah.

Nabi Muhammad  ﷺ pernah bersabda di dalam hadith daripada Nuwas bin Sam’an:

Allah berfirman: “wahai anak-anak Adam, janganlah sekali-kali engkau malas dalam mengerjakan 4 rakaat pada permulaan waktu siang (iaitu solat dhuha), kelak pasti akanKu cukupkan keperluanmu hingga ke petang hari. (Hadith riwayat At-Tabrani)

Kerana banyaknya kelebihan solat dhuha, anda disarankan untuk menjadikan solat sunat ini sebagai rutin harian. Pada mulanya mungkin anda berasa berat untuk melakukannya namun begitu apabila anda sudah mula menjadikan solat sunat dhuha satu rutin seharian, anda pasti akan berasa hari anda tidak lengkap jika terlepas untuk mengerjakannya.

Semoga ilmu yang dikongsikan dapat memberikan manfaat untuk amalan kita bersama. Selamat beribadat dan In Sha Allah, mudah-mudahan doa & permintaan kita dimakbulkan oleh yang Maha Pemurah dan Maha Pemberi Rezeki.


Anda juga mungkin berminat dengan topik-topik menarik ini:

Komen Facebook