Cara Solat Jamak & Qasar Yang Betul dari JAKIM

solat jamak dan qasar dengan betul

Solat Jamak & Qasar Cara Betul dari JAKIM


Solat Jamak

Solat jamak adalah salah satu daripada rukhsah solat (kelonggaran atau keringanan) yang diberikan oleh Allah S.W.T. kepada umat Islam yang bermusafir. Solat jamak bererti himpunan dua solat (Zohor dengan Asar, atau Maghrib dengan Isyak) dalam satu waktu yang sama. Terdapat 2 jenis solat jamak, iaitu:

  • Jamak Taqdim – dilakukan di dalam waktu solat pertama (Zohor atau Maghrib); manakala
  • Jamak Ta’khir – dilakukan di dalam waktu solat kedua (Asar atau Isyak).

Jamak Taqdim

Terdapat beberapa perkara yang perlu dititik beratkan untuk solat jamak taqdim, iaitu:

Niat

Niat jamak perlu dilakukan di dalam waktu solat pertama (Zohor atau Maghrib) ketika mengangkat takbir. Walau bagaimanapun, dibolehkan juga niat semasa solat yang pertama sekalipun semasa memberi salam. Jika niat diberikan hanya selepas salam, maka barulah ianya tidak sah.

Tertib

Cara yang betul adalah dengan melakukan solat pertama terlebih dahulu, diikuti dengan solat kedua sejurus selepas selesai yang pertama.

Contoh:

  • Sekiranya anda ingin menjamakkan solat Zohor & Asar; solatlah Zohor dahulu, diikuti dengan Asar; atau
  • Sekiranya anda ingin menjamakkan solat Maghrib & Isyak; solat Maghrib dahulu, diikuti dengan Isyak.

Rasional di sebalik tertib ini adalah kerana solat pertama telah pun masuk waktu, manakala solat kedua hanyalah sebagai penumpangnya.

Selain itu, harus diingatkan bahawa jika solat pertama terbatal kerana tidak sempurna syarat mahupun rukun, maka solat kedua juga akan ikut sama terbatal.

Berturut-Turut

Kedua-dua solat perlu dilakukan secara berturut-turut tanpa ada pemisah, seperti, pitam, terlupa, ataupun anda pergi mengerjakan perkara-perkara lain terlebih dahulu sebelum memulakan solat kedua, seperti berborak-borak mahupun makan.

Rasionalnya adalah kerana solat jamak telah pun menjadikan dua solat ini sebagai satu. Sekiranya terdapat aktiviti atau perbuatan lain di antara kedua-dua solat, maka secara automatik juga solat jamak akan menjadi tidak sah.

Namun begitu, pemisahan yang sekejap seperti azan, iqamah, dan berwuduk adalah dibolehkan.

Perjalanan Berterusan Sehingga Masuk Waktu Solat Kedua

Perjalanan sebagai musafir perlulah berterusan sehingga sekurang-kurangnya pada waktu takbiratul ihram solat yang kedua. Sekiranya musafir tamat sebelum memulakan solat yang kedua, maka jamak tidak lagi dibolehkan kerana syarat membolehkannya telah pun hilang.

Jamak Ta’khir

Niat

Niat solat Jamak Ta’khir perlu dibuat di dalam waktu solat pertama (Zohor ataupun Maghrib). Sebagai contoh, sekiranya anda sedang memandu dan berhajat untuk solat jamak ta’khir, ambillah masa sekejap untuk berniat sewaktu anda berada di dalam waktu solat pertama.

Masih Dalam Perjalanan Sehingga Kedua-dua Solat Selesai Didirikan

Sama seperti solat Jamak Taqdim, perjalanan sebagai musafir perlulah berterusan sehingga waktu solat kedua. Jika tidak, syarat jamak akan hilang dan rukhsah solat akan terbatal.

Tertib – Tidak Wajib

Berbeza dengan Jamak Taqdim, tertib tidak menjadi satu kewajipan. Oleh itu, mana-mana solat dibolehkan dibuat dahulu. Contoh:

  • Zohor dahulu, kemudian Asar;
  • Asar dahulu, kemudian Zohor;
  • Maghrib dahulu, kemudian Isyak; atau
  • Isyak dahulu, kemudian Maghrib.

Sebab: Meskipun adalah lazim untuk bersolat mengikut urutan biasa (seperti Zohor kemudian Asar), hanya solat kedua yang ada solat berjemaah di dalam waktunya.


Solat Qasar

Solat Qasar bermaksud memendekkan solat 4 rakaat kepada 2 rakaat, iaitu bagi solat Zohor, Asar & Isyak.

Solat Subuh dan Maghrib tidak boleh diqasarkan sama sekali.

Syarat-Syarat Solat Qasar

  1. Musafir telah melepasi sempadan tempat tinggal.
  2. Tiada niat bermukim melebihi  4 hari tanpa mengira perjalanan pergi dan balik.
  3. Tidak solat berjemaah dengan berimamkan orang yang solat dengan sempurna rakaatnya.
  4. Masih dalam keadaan musafir ketika solat Qasar dilakukan.

Solat Jamak & Qasar

Musafir adalah diharuskan untuk mengerjakan solat secara Qasar dan Jamak sekaligus. Kaedahnya sama sahaja seperti solat Jamak, kecuali ianya ditambah Qasar sahaja.

Contoh:

  • Zohor (2 rakaat) & Asar (2 rakaat); atau
  • Maghrib (3 rakaat) & Isyak (2 rakaat).

Lafaz Niat Solat Jamak Qasar

Solat Jamak Taqdim Beserta Qasar

Lafaz Niat Solat Jamak Taqdim (Zohor & Asar)

Lafaz Niat Solat Jamak Taqdim

Usolli fardhol zhuhri rok’ataini jam’a taqdiimin qosron lillahi ta’aala

(Sahaja aku solat Fardhu Zohor dua rakaat jamak taqdim serta qasar kerana Allah ta’ala.)

Lafaz Niat Solat Jamak Taqdim

Usolli fardhol ‘asri rok’ataini jam’a taqdiimin qosron lillahi ta’aala

(Sahaja aku solat Fardhu Asar dua rakaat jamak taqdim serta qasar kerana Allah ta’ala.)

Lafaz Niat Solat Jamak Taqdim (Maghrib & Isya’)

Lafaz Niat Solat Jamak Taqdim

Usolli fardhol maghribi thalaatha roka’aatin jam’a taqdiimin lillahi ta’aala

(Sahaja aku solat Fardhu Maghrib tiga rakaat jamak taqdim kerana Allah ta’ala.)

*Lafaz solat maghrib sahaja yang sedikit berbeza berbanding solat Zohor, Asar & Isyak kerana “qasar” tidak disebut di dalam lafaz. Hal ini kerana solat Maghrib tidak boleh dipendekkan.

Lafaz Niat Solat Jamak Taqdim

Usolli fardhol ‘isyaa’i rok’ataini jam’a taqdiimin qosron lillahi ta’aala

(Sahaja aku solat Fardhu Isyak dua rakaat jamak taqdim serta qasar kerana Allah ta’ala.)

Solat Jamak Ta’khir Beserta Qasar

Lafaz Niat Solat Jamak Ta’khir (Zohor & Asar)

Lafaz Niat Solat Jamak Qasar Ta'khir

Usolli fardhol zhuhri rok’ataini jam’a ta’khiirin qosron lillahi ta’aala

(Sahaja aku solat Fardhu Zohor dua rakaat jamak ta’khir serta qasar kerana Allah ta’ala.)

Lafaz Niat Solat Jamak Qasar Ta'khir

Usolli fardhol ‘asri rok’ataini jam’a ta’khiirin qosron lillahi ta’aala

(Sahaja aku solat Fardhu Asar dua rakaat jamak ta’khir serta qasar kerana Allah ta’ala.)

Lafaz Niat Solat Jamak Ta’khir (Maghrib & Isyak)

Lafaz Niat Solat Jamak Qasar Ta'khir

Usolli fardhol maghribi thalaatha roka’aatin jam’a ta’khiirin lillahi ta’aala

(Sahaja aku solat Fardhu Maghrib tiga rakaat jamak ta’khir kerana Allah ta’ala.)

*Sama seperti solat jamak taqdim, qasar tidak dilafazkan kerana solat Maghrib tidak boleh dipendekkan. Jadi, anda hanya perlu menyebut solat jamak.

Lafaz Niat Solat Jamak Qasar Ta'khir

Usolli fardhol ‘isyaa’i rok’ataini jam’a ta’khiirin qosron lillahi ta’aala

(Sahaja aku solat Fardhu Isyak dua rakaat jamak ta’khir serta qasar kerana Allah ta’ala.)


Hikmah di Sebalik Solat Jamak & Qasar

Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

إن الله يحب أن تؤتى رخصـه كما يكره أن تؤنى معصـيته. رواه أحمد

Sesungguhnya Allah suka dilaksanakan rukhsah (keringanan) yang diberikan olehNya seperti Allah membenci  dilakukan maksiat kepadaNya”. ~ Hadis riwayat Ahmad.

Antara hikmah-hikmah disebalik solat Jamak & Qasar adalah:

  1. Meringankan beban umat Islam dalam melakukan solat fardhu sewaktu bermusafir.
  2. Hadiah dan tanda Allah S.W.T. maha penyayang.
  3. Keringanan diberikan supaya solat dapat dilaksanakan di dalam apa jua keadaan.
  4. Memberikan galakan kepada umat Islam untuk bermusafir di atas apa saja tujuan yang baik dan ziarah-menziarahi  bagi menambahkan keimanan, mencari rezeki, serta mengeratkan hubungan silaturrahim.

Anda juga boleh merujuk kepada panduan yang telah dikeluarkan oleh PLUS & disahkan oleh JAKIM ini (klik pada gambar untuk besarkan):

Panduan Solat Jamak Qasar PLUS yang disahkan oleh JAKIM | aliff.co

 

Anda juga boleh melayari laman web rasmi JAKIM untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Semoga ilmu yang dikongsikan ini dapat memberikan manfaat kepada kita semua. Selamat bermusafir, dan selamat beribadat!


Anda juga mungkin berminat dengan topik-topik ini:


Ingin info lebih lanjut berkenaan solat jamak & qasar? Sila tonton video ini.

 

Komen Facebook