Tempat Menarik di Langkawi- 15 Lokasi Mesti Dikunjungi!

Tempat menarik di Langkawi aliff.co blog karya Aliff Mazli

Tempat Menarik di Langkawi

Tempat menarik di Langkawi – Pulau Langkawi adalah salah satu daripada lokasi utama pelancongan di Malaysia. Ianya merangkumi 99 pulau yang terpisah daripada Semenanjung Malaysia di sepanjang Selat Melaka. Berkeluasan hampir 48,000 hektar, Pulau ini dipenuhi dengan tempat-tempat menarik yang patut dikunjungi. Selain itu, Pulau Langkawi dan lagendanya tidak dapat dipisahkan, terutamanya Mahsuri.

Nak tahu lebih lanjut tentang tempat menarik di Langkawi? Mari kita lihat senarai 15 lokasi paling best untuk dikunjungi di sini!


Kereta Kabel Langkawi

tempat menarik di langkawi, kereta kabel

Sampai-sampai je di Pulau Langkawi, pergilah cuba naik kereta kabel! Namun begitu, naik kereta kabel ini boleh menjadi mimpi ngeri untuk mereka yang mengalami “acrophobia” – takut kepada ketinggian (mari belajar bahasa saintifik sikit), lagi-lagi bila anda memilih untuk menaiki gondola yang mempunyai lantai kaca! Jadi, jika anda datang bersama-sama teman, interview dululah sama ada dia OK atau tidak untuk naik kereta kabel ni. Daripada stesen di bawah, anda akan ke stesen tengah yang jaraknya 1.7km sebelum anda boleh sambung naik ke atas, jika sanggup. Perasaan menaiki kereta kabel ni memang thrill lah! Amacam, ada beran?

Lokasi: Gunung Machinchang

Waktu operasi: Bermula 9:30 pagi – 7:00 malam

Kos:

Warganegara

Dewasa — RM30.00

Kanak-kanak (2-12 tahun)— RM22.00

Bukan Warganegara

Dewasa — RM45.00

Kanak-kanak — RM32.00

* Laluan ekspres dan gondola eksklusif juga ada ditawarkan, tetapi kenalah dengan harganya. “Good stuffs aren’t cheap”, kan?


Skybridge

tempat menarik di langkawi, skybridge

Jika anda mahu, daripada Stesen Tengah tadi, anda boleh naik lagi ke Top Station untuk ke Skybridge. Untuk pengetahuan anda, pembinaan Skybridge ini tamat pada tahun 2004, dan ianya tergantung pada ketinggian lebih kurang 100 meter dan boleh menampung sehingga 250 orang dalam satu-satu masa. Ketika berada di jambatan ini, anda akan berpeluang menikmati panorama Pulau Langkawi yang sangat indah. Tambahan pula, kerana senibina jambatannya yang berbentuk melencong, anda akan dapat melihat panorama ini daripada perspektif menarik apabila anda berjalan-jalan melalui Skybridge ini. Tempat ini juga tidak direkomen kepada yang gayat- nanti jenuh member nak tolong kalau dia terkucil.

Waktu Operasi: Bermula 9:30 pagi – 7:00 malam

Kos:

Dewasa: RM5.00

Kanak-kanak: RM3.00


Oriental Village

tempat menarik di langkawi, oriental village

Anda akan menemui Oriental Village ini sebelum anda pergi menaiki kereta kabel kerana ia terletak di kaki gunung. Tapi, saya cadangkan anda naik kereta kabel dahulu (tiada elemen paksaan di sini). Bukan apa, cuma bagi saya, kereta kabel & Skybridge itulah di antara tempat menarik di Langkawi yang paling famous, jadi tak best kalau dah penat bersiar-siar di bawah baru nak naik. Di Oriental Village, terdapat pelbagai tarikan yang menanti anda. Selain itu, anda juga boleh berehat sekejap dan makan-makan sebelum shopping. Kalau anda berminat, anda bolehlah mencuba Segway tour, ATV, motorcross malah bermacam-macam lagi aktiviti menarik di sini!

Lokasi: Burau Bay Padang Matsirat, Pantai Kok


Air Terjun Telaga Tujuh

tempat menarik di langkawi, air terjun telaga tujuh

Air terjun ini sebenarnya adalah rangkaian daripada 7 mata air yang mengalir ke 7 telaga yang wujud secara semulajadi. Terdapat kisah-kisah dongeng yang mengatakan kerana kecantikan air terjun ini, pari-pari suka datang bermandi-manda di sini. Oh, di sini ada tali halangan. Jadi, walaupun anda ingin bersuka-ria, berwaspadalah juga ya. Sila pentingkan keselamatan, kerana saya khuatir pari-pari tak berminat menyembuhkan anda bila anda tergolek di sini disebabkan kecuaian sendiri.

Lokasi: Telaga Harbour Park


Pulau Payar Marine Park

tempat menarik di langkawi, pulau payar marine park

Pulau Payar adalah salah satu daripada pulau besar di Langkawi berbanding pulau-pulau lain di sekelilingnya. Kalau diikutkan, tiada apa yang menarik di atas paras laut kecuali pemandangannya yang memukau (obviously tetap jauh lagi menarik berbanding pemandangan concrete jungle di KL). Jadi, apakah tarikan sebenar di sini? Jawapannya terletak di bawah paras beku. Eh, paras laut.

tempat menarik di langkawi
Ada apa di sini? Ikan. Baaanyak ikaaaaaaaaaan.

Di sini, terdapat terumbu karang yang dikelilingi oleh hidupan-hidupan laut untuk tatapan anda. Jadi, di sinilah syurga snorkeling! Oh yeah, bawalah sekali kamera kalis air untuk berswafoto (saya baru belajar perkataan ni daripada iklan Oppo Datuk Siti Nurhaliza masa tengok wayang kat GSC- Maksudnya “selfie” dalam bahasa Melayu) bersama kawan-kawan Nemo & Dory.

Lokasi: 30km / 1 jam menaiki bot daripada Pulau Langkawi

Waktu operasi: Bertolak jam 9:45 pagi dari Jeti Kuah & bertolak pulang jam 3:30 petang dari Pulau Payar)

Kos: Sekitar RM170 – RM300, bergantung kepada pakej yang anda ambil.


Island Hopping

tempat menarik di langkawi, island hopping

Ketika berada di Pulau Langkawi, saya sangat recommend anda lawati 3 pulau utama di sini, iaitu Pulau Dayang Bunting, Pulau Singa Besar & Pulau Beras Basah. Boleh dikatakan semua agensi pelancongan di sini menawarkan perkhidmatan island hopping ni. Pakej yang ditawarkan pun memang berbaloi-baloi.

Waktu operasi: Bermula jam 9:00 pagi atau 2:30 petang, bergantung kepada jadual yang diberikan ejen

(anggaran masa 3 jam setengah untuk melawati kesemua 3 pulau ini)

Kos: RM40 seorang untuk sharing boat / sewa 1 bot – RM320 (10 orang)*

*Juga bergantung kepada harga yang ditawarkan ejen. Carilah yang paling berpatutan dan tunjukkan negotiation skill anda!


Tasik Dayang Bunting

tempat menarik di langkawi, tasik dayang bunting

Salah satu lokasi yang anda akan pergi ketika island hopping adalah Pulau Dayang Bunting. Di pulau ini, terdapat satu tasik yang sangat cantik untuk dikunjungi. Untuk pengetahuan anda, Tasik Dayang Bunting ini juga mempunyai mitosnya yang tersendiri dan terdapat ura-ura mengatakan bahawa masalah kesuburan dapat diubati dengan bermandi-manda di sini. Nak tahu alkisah di sebaliknya?

Menurut lagenda, seorang putera bunian bernama Mat Teja telah jatuh cinta kepada seorang puteri bunian yang indah rupawan bernama Dayang. Ianya adalah cinta pandang pertama. Setelah menyapu air mata duyung pada wajahnya sendiri (nak naikkan seri la kot), akhirnya Mat Teja telah berjaya memikat hati Dayang. Kemudiannya, mereka berkahwin dan mendapat seorang cahaya mata. Namun begitu, nasib mereka malang kerana bayi yang dilahirkan tersebut meninggal dunia 7 hari selepas dilahirkan. Kemudian, pasangan tersebut telah menyemadikan bayi itu di tasik ini. Sebelum kembali ke kayangan, Dayang telah membacakan jampi untuk memberikan penawar kepada sesiapa yang mempunyai masalah untuk mendapatkan zuriat.

Sejauh mana benarnya mitos ini memang tidak diketahui. Namun begitu, ramai yang percaya kepada kisah dongeng ini lebih-lebih lagi kerana struktur gunung-ganang di sekitar Tasik Dayang Bunting yang menyerupai bentuk seorang wanita hamil sedang berbaring.

Apa-apa pun, lokasi ini memang cantik dan terdapat pelbagai aktiviti menarik boleh dilakukan.

mandi di tasik dayang bunting

Lokasi: Pulau Dayang Bunting


Underwater World

tempat menarik di langkawi, underwater world

Underwater World Langkawi mempunyai keluasan 6 ekar. Ia menempatkan lebih 200 spesies hidupan laut, termasuklah Penguin dalam cerita Madagascar, Amazonian Arapaima (senang cerita- ikan besaq) dan banyak lagi. Jika anda ke sini, ambillah peluang untuk mempelajari tentang hidupan laut.

tempat menarik di langkawi, underwater world
Raut wajah ikan ini mencurigakan. Saya rasa dia tahu di mana Nemo & Dory menyorok tapi sengaja buat-buat donno.

Lokasi: Pantai Cenang

Waktu operasi:

Isnin-Jumaat: 9:30 pagi – 6:30 petang

Sabtu & Ahad: 9:30 apgi – 10:30 malam

Kos: RM22.00 – RM41.00


Laman Padi

tempat menarik di langkawi, Laman Padi

The name speaks for itself. Di sini terdapat laman dan ia dipenuhi padi. Apa yang anda expect? Teruk betul description saya bagi ya? OK, sekarang kita serius sikit. di kawasan terbuka ini terdapat sawah padi, taman herba, galeri, dan juga muzium yang mana anda boleh melihat proses and menanam, menyemai, sehinggalah ke proses menjadikan beras yang boleh dimakan. Hari-hari makan nasi, takkan tak nak tahu macam mana ia dibuat, kan?

Lokasi: Pantai Cenang

Waktu operasi: Setiap hari bermula 10:00 pagi – 6:00 petang

Kos: Percuma


Makam Mahsuri

tempat menarik di langkawi, makam mahsuri

Lagenda Mahsuri adalah di antara lagenda yang paling menarik. Mahsuri, gadis yang berkahwin dengan seorang pahlawan tempatan, Mat Derus, telah difitnah dan dikatakan telah melakukan hubungan sulit dengan lelaki lain sehinggakan perkara ini membawa kepada pembunuhan Mahsuri. Oleh kerana fitnah tersebut, Mahsuri telah menyumpah Langkawi akan menjadi padang jarak padang tekukur selama 7 keturunan.

Yang menariknya, ketika Tunku Abdul Rahman (ya, Bapa Kemerdekaan Malaysia) berkhidmat sebagai pegawai daerah di sini, beliaulah yang berusaha untuk mencari makam ini yang sebelumnya tidak diketahui umum. Makam ini hanya dibina sejak penemuan oleh Tunku. Yang lagi menarik, ingat tentang 7 keturunan tadi? Secara kebetulan (ataupun tidak- hanya Tuhan yang tahu), Langkawi hanya mula membangun selepas penemuan keturunan ke-7 Mahsuri yang bernama Wan Aishah Wan Nawawi!

Di sini juga terdapat replika rumah Kedah & muzium kecil. Jika anda berminat, pementasan Lagenda Mahsuri ada dimainkan pada hari Jumaat – Ahad di sekitar jam 3:00 petang.

Lokasi: Jalan Makam Mahsuri, Kampung Mawar

Waktu operasi: Setiap hari bermula 8:00 pagi – 6:00 petang

Kos:

Warganegara

Dewasa: RM7.00

Kanak-kanak: RM3.50

Bukan Warganegara

Dewasa: RM15.00

Kanak-kanak: RM7.00


Air Hangat

tempat menarik di langkawi, air hangat

Juga berasal daripada kisah lagenda, adalah dikatakan pada zaman dahulu terdapat 2 keluarga yang selalu bertelagah kerana anak-anak mereka saling bercinta. Al-kisahnya tiba satu malam di mana pergaduhan itu bukan sahaja maki-memaki, tetapi sampai mereka saling melontar kuah dan air panas. Saya syak masa tu mereka tengah makan malam. Tiba-tiba, petir terus menyambar ketua kedua-dua keluarga (Mat Cincang & Mat Raya) ini dan mereka bertukar menjadi 2 puncak gunung. Ya, harap anda sudah dapat tangkap- itulah Gunung Machinchang & Gunung Raya!

Tempat di mana air panas tadi tumpah pun mula mengeluarkan mata air panas. Mata air ini dikatakan dapat merawat penyakit. Jadi, anda bolehlah berkunjung ke sini untuk berehat & mencuba mata air panas ini. Namun, kemungkinan besar ia tidak dapat menyembuhkan penyakit kaki bangku.

tempat menarik di langkawi, telaga air hangat

Lokasi: Jalan Air Hangat, Air Hangat

Waktu operasi: Setiap hari bermula 9:00 pagi – 5:00 petang

Kos: Percuma


Pantai Tanjung Rhu

tempat menarik di langkawi, pantai tanjung rhu

Pantai Tanjung adalah di antara pantai yang tercantik di Langkawi kerana airnya yang jernih dan pasir pantai yang halus. Sepanjang perjalanan ke sini juga, anda akan melalui jalan berhutan. Fuh, tak dapat digambarkan perasaan melihat kawasan menghijau, dan di hujungnya ada pantai! Macam yang ada seorang doktor tu suruh saya bayangkan masa saya kena hipnosis di seminar dahulu (hipnosis itu tak menjadi pun, saya je yang berangan sendiri). Sangat sesuai untuk bersantai dan menikmati keindahan alam. Sememangnya tempat ini lebih dari layak untuk disenaraikan sebagai salah satu tempat menarik di Langkawi yang paling best.

Lokasi: Tanjung Rhu


Kilim Geoforest Park

tempat menarik di langkawi, kilim geopark

Terletak di bahagian paling utara Langkawi, Kilim Geopark menawarkan pengalaman menarik unuk pencinta alam. Di sini, anda dapat melihat kecantikan alam semulajadi yang dipenuhi kehijauan dan juga hidupan-hidupan liar yang menarik. Di sini juga terdapat Gua Kelawar, Gua Buaya, Gua Langsir & juga restoran terapung. Oh, anda juga berpeluang menyaksikan eagle feeding di sini!

Lokasi: Kuah

Waktu operasi: Bermula 9:00 pagi – 5:00 petang

Kos: RM250.00 (pakej 10 orang satu bot/2 jam)- banyak lagi pakej yang ditawarkan ejen di sana.


Crocodile Adventureland

tempat menarik di langkawi, crocodile adventureland
Gambar ini diambil pada bulan Mac 2015. Kelihatan buaya-buaya ini khusyuk mendengar taklimat tentang pelaksanaan GST.

Anda minat buaya? Jom ke Crocodile Adventureland! Anda tak minat? Jom paksa diri anda untuk minat dan ke Crocodile Adventureland! Taman Buaya ini adalah rumah kepada lebih 1,000 ekor buaya dan merupakan salah satu daripada taman buaya terbesar di dunia. Aktiviti yang boleh dilakukan di sini adalah melihat buaya berehat, melihat buaya makan, melihat buaya membuat pertunjukan, melihat buaya tidur, dan melihat macam-macam lagi perkara yang biasa dibuat oleh buaya.

Lokasi: Mukim Air Hangat, Jalan Datai

Waktu operasi: Setiap hari bermula 10:00 pagi – 6:00 petang

Kos:

Warganegara

Dewasa: RM15.00

Kanak-kanak: RM10.00

Bukan Warganegara

Dewasa: RM20.00

Kanak-kanak: RM15.00


Dataran Lang

Tempat menarik di langkawi, dataran lang

Dataran Lang adalah tempat menarik di Langkawi yang wajib anda pergi. Ia adalah lokasi paling ikonik untuk anda tangkap gambar sebagai bukti bahawa anda telah berjaya menjejakkan kaki ke Langkawi. Memang tak sah kalau tak datang ke sini, setidak-tidaknya sebagai lokasi terakhir sebelum anda pulang.

Menurut statistik Aliff.co, ini adalah cara posing paling diminati oleh pengunjung di Dataran Lang.

Tempat Menarik di Langkawi | Posing Paling Popular

Lokasi: Kuah


Lagi Tempat Menarik di Langkawi

Terpulanglah kepada anda sama ada anda lebih meminati lokasi bertemakan alam semulajadi ataupun anda mahu berhibur, terdapat banyak lagi tempat menarik di Langkawi untuk dilawati, seperti:

  • 5D Museum (Believe Langkawi)
  • Air Terjun Temurun
  • Air Terjun Durian Perangin
  • Art in Paradise
  • Buffalo Park
  • Dev Adventure Tours
  • Galeri Padi
  • Herbawalk Langkawi
  • HIG Complex
  • Idaman Suri
  • Kompleks Kraf Langkawi
  • Ladang Buah Naga
  • MARDI Agro Technology Park
  • Nusantara Gamat
  • Padang Matsirat
  • Pantai Cenang
  • Pantai Pasir Tengkorak
  • Pantai Tengah
  • Pekan Kuah
  • Sungai Kubang Badak

Banyak bukan? Tapi, apa yang pasti, anda tidak akan menyesal berkunjung ke sini. Sememangnya Pulau Langkawi adalah tempat yang sangat menarik untuk dikunjungi. Sama ada anda pergi sendirian mahupun bersama keluarga, pulau ini pasti akan memberikan memori yang sangat indah dan tidak akan dapat dilupakan.


Anda juga mungkin berminat dengan topik-topik berkaitan:

Lagi topik menarik untuk dibaca:


Sila tonton video ini untuk melihat aktiviti-aktiviti yang dilakukan di tempat menarik di Langkawi.

 

Komen Facebook