Tempat Menarik di Melaka- 20 Lokasi Best Wajib Dikunjungi!

Tempat Menarik di Melaka Bandaraya Bersejarah | aliff.co | Blog karya Aliff Mazli

Tempat Menarik di Melaka

Tempat Menarik di Melaka – #dontmesswithmelaka sudah menjadi semakin trending. Apa tidaknya, sememangnya negeri Melaka adalah salah satu daripada negeri yang paling menarik untuk dikunjungi di Malaysia kerana nilai sejarahnya dan juga kerana adanya pelbagai tarikan pelancongan lain. Apa yang lebih membanggakan, negeri Melaka telahpun diisytiharkan sebagai Bandar Warisan Dunia oleh UNESCO kerana nilai universalnya.

Nak tahu apa yang menarik di Melaka? Mari lihat senarai 20 tempat best untuk dilawati apabila anda berkunjung ke sini!

Tips: Link untuk lokasi akan membawa anda terus ke Google Maps supaya senang untuk anda navigate bila dah sampai Melaka nanti. Jadi, jangan lupa bookmark page ni ya! 🙂

Advertorial aliff.co


Bustel Klebang Melaka

Bustel Klebang Tempat Menarik di Melaka

Bustel (BUS + hoTEL) Melaka adalah lokasi penginapan eksotik yang terletak di Pantai Klebang, yang mana lebih kurang 40 buah bas usang telah diubahsuai menjadi hotel dengan fasiliti asas yang lengkap. Setiap bilik Bustel ini boleh memuatkan sehingga 4 orang dewasa atau 2 orang dewasa & 2 orang kanak-kanak dalam satu-satu masa. Ia dilengkapi katil (1 queen bed atau 2 single bed) beserta selimut & bantal, air cond, almari solek, almari, flatscreen TV, 2 helai tuala, dan juga sejadah.

Sekiranya anda berminat untuk mencuba hotel unik ini, anda dinasihat untuk membuat tempahan awal (No. telefon Bustel: 019-741 4113.) Bustel Klebang juga merupakan satu lokasi yang strategik kerana ia terletak di Pantai Klebang – maklumat tentang Pantai Klebang ada di bawah.

Lokasi: Pantai Klebang

Kos:

Hari biasa: RM80

Hujung minggu & cuti umum: RM120


Pantai Klebang

Pantai Klebang, Klebang Desert Tempat Menarik di Melaka

Pantai Klebang adalah salah satu daripada pantai-pantai yang ada di Melaka. Namun begitu, oleh kerana lokasinya yang lebih strategik iaitu lebih dekat dengan bandar Melaka dan lebih accessible, secara tidak langsung ia menjadi pantai yang paling popular di sini.

Di Pantai Klebang ini juga, terdapat satu lokasi unik iaitu kawasan “padang pasir” yang sedikit tersorok. Anda boleh melayari Instagram dan cari hashtag-hashtag seperti #melakadesert. Bila dah tengok, pasti anda faham kenapa ramai yang suka berkunjung ke sini.

Walaupun lokasinya agak tersembunyi, anda tidak perlu risau kerana sentiasa ramai orang di sini. Yang datang buat wedding photoshoot pun ramai. Jika anda pergi bergambar di sini, akan ada kenderaan 4X4 yang boleh membawa anda dari tempat parking ke kawasan ini dengan caj RM3.00 seorang untuk sehala- saya dah cuba jalan kaki pergi dan balik. Habis lencun, basah ketiak Abam. Selepas belajar dari kesilapan (dapat penat, terpaksa kejar masa dan konon-konon nak bergambar stylo tapi last-last cuma dapat gambar muka berminyak), kali kedua pergi baru saya menurunkan ego dan naik 4X4. Best wooo!

Untuk tujuan keselamatan, anda akan diarahkan untuk meninggalkan kawasan ini selepas jam 7:00 petang.

Lokasi: Pantai Klebang


Muzium Kapal Selam

Muzium Kapal Selam Tempat Menarik di Melaka

Kapal selam yang terdapat di muzium ini adalah FS Ouessant Agosta 70. Ia digunakan untuk tujuan latihan oleh kru Kelas Perdana Menteri TLDM. Dahulunya, kapal selam ini adalah kepunyaan Tentera Laut Perancis dan telah dibeli oleh kerajaan Malaysia. Ia diserahkan kepada kerajaan negeri Melaka secara rasmi pada 4 Mac 2012, dan kemudiannya dijadikan sebuah muzium.

Selepas membeli tiket masuk, anda akan diberikan akses untuk meneroka bahagian dalam kapal selam. Sepertimana yang biasanya ditayangkan di wayang gambar, bahagian dalaman kapal selam adalah agak sempit. Anda boleh melayari laman web Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) untuk maklumat lanjut.

Lokasi: Dataran 1 Malaysia Klebang

Waktu operasi:

Hari biasa: 9:00 pagi – 5:30 petang

Hujung minggu: 9:00 pagi – 6:30 petang

Kos:

Dewasa: RM 3.00

Kanak-kanak: RM1.00


The Shore Sky Tower

The Shore Sky Tower Tempat Menarik di Melaka

The Shore Sky Tower adalah bangunan yang tertinggi di Melaka dengan ketinggian 42 tingkat iaitu 153m! Di sini juga terdapat kafe iaitu the Sky Deli Restaurant untuk menjamu selera (tempat best, harga pun “best” juga la ya) sambil menikmati pemandangan yang memukau ini.

Selain itu, terdapat akuarium yang penuh dengan ikan koi dan yang paling menarik, satu platform kaca lutsinar telah dibina untuk membolehkan pengunjung menguji keberanian. Saya admit cuak sikit la bila berdiri kat situ. Anda bebas mengambil selfie, wefie, theyfie dan apa-apa yang seangkatan dengannya ketika berada di sini. Tetapi, anda tidak dibenarkan untuk mengambil gambar menggunakan kamera sendiri ketika berada di platform kaca tadi, kerana sudah ada kamera yang disediakan. Nak tangkap tu free, cuma bila nak print yang kena bayar. Apa-apa pun, ia adalah salah satu tempat menarik di Melaka yang patut dikunjungi waktu malam.

Sila layari laman web rasmi The Shore Sky Tower untuk maklumat terkini.

Lokasi: The Shore, Malacca River

Waktu Operasi: 10:00 pagi ke 10:00 malam

Kos:

Dewasa: RM25 sekali masuk

Kanak-kanak: RM18 sekali masuk


Rumah Terbalik

Rumah Terbalik Melaka Upside Down House, Tempat Menarik di Melaka

Jom merasa jadi Spiderman yop! Upside Down House ini adalah salah satu lokasi yang harus dilawati, terutamanya buat kaki Instagram. Di sini anda akan mendapat satu pengalaman unik yang dihasilkan dengan memanipulasi kedudukan perabot dan barangan di dalam rumah. Benda yang sepatutnya ada kat lantai, dilekatkannya di siling, dan begitulah sebaliknya. Oh ya, staf di sini juga sangat peramah dan tak kisah untuk tolong ambil gambar.

Lokasi: Jalan PM7, Plaza Mahkota

Waktu Operasi: 10:00 pagi ke 7:00 malam

Kos:

Warganegara (tapi jangan lupa bawak MyKad):
Dewasa: RM15
Kanak-kanak bawah 12 tahun: RM10

Bukan Warganegara:
Dewasa: RM20
Kanak-kanak bawah 12 tahun: RM16


Masjid Kampung Hulu

Masjid Kampung Hulu Tempat Menarik di Melaka

Masjid Kampung Hulu adalah salah satu daripada tempat menarik di Melaka kerana ia masjid tertua di Malaysia. Masjid yang dibina dalam lingkungan tahun 1720 ke 1728 ini telah dibaikpulih untuk memulihara senibinanya yang asal. Kepada mereka yang mahir tentang architecture, anda boleh perhatikan senibina masjid ini yang unik, kerana bak kata brader-brader urban, ada “mash-up” di antara elemen Sumatera, Cina, Hindu & juga Melayu Melaka.

Sambil berjalan-jalan, bolehlah singgah solat, kan?

Lokasi: Jalan Kampung Hulu


Kota A Famosa

Kota A'Famosa Tempat Menarik di Melaka

Kota A Famosa adalah sebuat kubu Portugis yang dibina pada tahun 1511 sewaktu Afonso de Albuquerque tiba di negeri Melaka bersama-sama angkatannya. Kota A Famosa merupakan senibina Eropah yang tertua yang masih wujud di Asia Tenggara. Sebenarnya, kubu ini lebih besar. Namun begitu, bahagian-bahagian lain telah diruntuhkan pada tahun 1807 dan hanya Porta de Santiago, iaitu sebuah gate house yang kecil masih teguh berdiri.

Di samping mempelajari tentang sejarah negeri Melaka, kota A Famosa adalah lokasi yang paling simbolik bagi negeri Melaka. Tak sah kalau tak bergambar di sini apabila datang ke Melaka tau!

Lokasi: Bandar Melaka (berdekatan Dataran Pahlawan & Hotel Equitorial)


Melaka River Cruise

Melaka River Cruise, Tempat Menarik di Melaka

Jom bersiar-siar di sepanjang Sungai Melaka dengan menaiki bot! Sungai yang mengalir merentasi bandar Melaka ini membolehkan anda menikmati pemandangan bangunan-bangunan warisan, gudang-gudang lama, gereja & juga kawasan perkampungan.

Anda boleh menaiki River Cruise ini di jeti Muara. Dari jeti Muara, anda akan dibawa sehingga ke jeti Taman Rempah dan anda akan berpatah balik ke jeti Muara. Oh ya, River Cruise ini juga beroperasi pada waktu malam. Saya pernah cuba siang dan malam tengok yang mana lagi best, dan obviously kerana cuaca panas di waktu siang dan bila malam ada lampu lip-lap sana-sini, River Cruise adalah salah satu tempat menarik di Melaka yang patut dikunjungi pada waktu malam.

Lokasi: Jalan Merdeka, bandar Melaka (berdekatan Muzium Samudera)

Waktu Operasi: 9:00 pagi ke 11:30 malam

Kos:

Warganegara

Dewasa: RM10.00

Kanak-kanak: RM5.00

Bukan Warganegara

Dewasa: RM15.00

Kanak-kanak: RM7.00

Sewa satu bot

Warganegara: RM400

Bukan warganegara: RM600


The Stadthuys

The Stadthuys, Tempat Menarik di Melaka

The Stadthuys pada suatu masa dahulu adalah sebuah dewan bandaran sewaktu pemerintahan Belanda di negeri Melaka. Ia juga merupakan salah satu daripada monumen simbolik bagi negeri Melaka – ramai yang mengenalinya sebagai “bangunan merah kat Melaka tu”. Ini adalah salah satu lokasi yang tak pernah putus dengan kehadiran pelancong yang ingin bergambar sebagai tanda kenangan. Kalau anda berminat, kat depan ni pun banyak beca- Beca Elsa Frozen pun ada!

Lokasi: Jalan Gereja, Bandar Melaka

Kos: (Hanya jika anda ingin masuk ke dalam Kompleks Stadthuys), caj dikenakan adalah:

Warganegara (sertakan MyKad):

Dewasa: RM5.00

Kanak-kanak: RM2.00

Bukan warganegara:

Dewasa: RM10.00

Kanak-kanak: RM4.00

*Dengan membeli tiket, anda juga akan mendapat akses ke Muzium Pemerintahan Demokrasi, Muzium Pendidikan, Muzium Tuan Yang Terutama, Muzium Pendidikan & Galeri Laksamana Cheng Ho.


Baba & Nyonya Heritage Museum

Baba Nyonya Heritage Museum, Muzium Warisan Baba Nyonya, Tempat Menarik di Melaka

Kenali warisan peranakan Bab & Nyonya sejak lewat abad ke-19 sehingga ke awal abad ke-20 dengan lebih dekat di muzium ini. Ianya adalah sebuah bangunan gabungan 3 lot teres milik keluarga Chan pada tahun 1861. Rumah ini telah pun didiami 4 generasi sebelum dijadikan sebagai muzium pada tahun 1985. Di dalam rumah ini, anda akan dapat melihat pelbagai barangan dan design rumah yang mencerminkan budaya Baba Nyonya di Melaka.

Sila layari laman web rasmi Baba Nyonya Heritage Museum untuk maklumat lanjut.

Lokasi: Jalan Tun Tan Cheng Lock, Bandar Melaka

Waktu operasi:

Hari biasa:
10:00 pagi – 1:00 tengahari (lawatan terakhir jam 12:00 tengahari)
2:00 petang – 5:00 petang  (lawatan terakhir jam 4:00 petang)

Untuk hujung minggu (Jumaat, Sabtu & Ahad), lawatan terakhir ialah pada jam 5:00 petang

Kos:

Dewasa: RM16.00
Kanak-kanak (5-12 tahun) RM11.00


Masjid Selat

Masjid Selat, Tempat Menarik di MelakaKalau di Terengganu, ada masjid Kristal & masjid terapung. Melaka  pun apa kurangnya! Masjid Selat adalah salah satu daripada lokasi yang perlu ada di dalam travelling checklist anda. Masjid yang dibina berdasarkan elemen Melayu & Timur Tengah ini akan kelihatan seakan-akan terapung di atas air, terutamanya ketika air pasang. Lepak sekejap di sini sambil tunggu sunset dan solat Maghrib pun best juga.

Lokasi: Pulau Melaka, bandar Melaka


Jonker Walk

Jonker Street, Tempat Menarik di Melaka

Jangan lupa pada member-member yang dah kirim itu-ini masa anda beritahu mereka yang anda akan bercuti di Melaka! Jonker Walk adalah salah satu lokasi tarikan utama di Melaka kerana di sini, terdapat pelbagai barangan dijual pada harga yang berpatutan. Kalau setakat souvenir tu, memang melambak lah! Jadi, jangan lepaskan peluang untuk singgah bila anda bercuti di Melaka.

Lokasi: Jalan Hang Jebat, Bandar Melaka

Kos: Terpulang kepada bajet 2017 anda. 🙂


Masjid Kampung Kling

Masjid Kampung Kling, Tempat Menarik di Melaka

Negeri Melaka penuh dengan monumen warisan. Salah satu daripada monumen tersebut adalah Masjid Kampung Kling yang tlah dibina seawal tahun 1748. Masjid unik ini menggabungkan pelbagai elemen di dalam pembinaannya, seperti fusion di antara timur dan barat. Jadi, anda bolehlah ke sini jika berkesempatan.

Lokasi: Jalan Hang Jebat (berdekatan Jonker Street)


 Menara Taming Sari

Menara Taming Sari, Tempat Menarik di Melaka

Jom menaiki Menara Taming Sari! Menara berketinggian 80m ini menawarkan pemandangan indah sekitar bandar Melaka. Dari atas, anda akan dapat melihat sehingga ke selat Melaka. Selain itu, anda juga boleh bermian Mini Rider 3D & Italian Bumper Car di sini.

Sila layari laman web rasmi Menara Taming Sari untuk maklumat lanjut.

Lokasi: Jalan Merdeka, Bandar Melaka (berdekatan Dataran Pahlawan)

Kos:

Dewasa: RM20.00

Kanak-kanak (bawah 12 tahun): RM10.00

Pelajar: RM17.00 (bukan warganegara) / RM10.00 (warganegara)


Zoo Melaka

Zoo Melaka, Tempat Menarik di Melaka

Jom tengok haiwan comel-comel di Zoo Melaka! Zoo ini adalah zoo kedua terbesar di Malaysia selepas Zoo Negara. Zoo ini menjadi rumah keapa lebih 1200 haiwan daripada 215 spesies yang pelbagai. Zoo Melaka mempunyai pelbagai tarikan yang tersendiri. Ia juga merupakan zoo pertama yang menempatkan badak Sumatra yang diancam kepupusan. Selain itu, terdapat juga spesies-spesies lain yang menjadi tarikan pengunjung, seperti gajah Asia, kuda liar, harimau Malaya dan sebagainya.

Harimau Malaya Zoo Melaka, Tempat Menarik di Melaka

Suasana di dalam zoo ini juga adalah nyaman kerana terdapat tumbuh-tumbuhan ditanam untuk mewujudkan suasana seakan-akan kawasan hidupan liar di hutan hujan tropika yang sebenar. Terdapat juga tumbuh-tumbuhan dan pokok-pokok eksotik yang ditanam di sekitar zoo ini.

Zoo Melaka adalah salah satu daripada tempat menarik di Melaka untuk kanak kanak terutamanya, kerana mereka dapat melihat spesies-spesies hidupan liar dengan lebih dekat. Oleh kerana kawasan zoo yang luas, kemudahan seperti tram (yang macam kereta api tu) juga disediakan untuk kemudahan pengunjung di sini dengan harga serendah RM2.00 sahaja.

Lokasi: Ayer Keroh (berhampiran plaza tol PLUS Ayer Keroh)

Waktu operasi:

Zoo waktu biasa: 9:00 pagi – 6:00 petang (tiket terakhir jam 5:30 petang)

Night Safari: 8:00 malam – 11:00 malam (tiket terakhir jam 10:30 malam)

Kos: 

Warganegara

Warga emas: RM7.10

Dewasa (umur 13-59): RM17.80

Kanak-kanak (umur 4-12): RM7.10

OKU: RM7.10

Bukan Warganegara

Dewasa (umur 13-59): RM23.70

Kanak-kanak (umur 4-12): RM17.80

*Anda boleh mendapatkan informasi lengkap & terkini di laman web rasmi Zoo Melaka.


Taman Rama-Rama & Reptilia

Taman Rama-Rama & Reptilia, Tempat Menarik di Melaka

Taman Rama-Rama & Reptilia Melaka ini menempatkan lebih 20 spesies rama-rama di samping haiwan reptilia dan beberapa spesies lain untuk tatapan pengunjung. Taman yang dibina di atas tanah berkeluasan 11 ekar ini mempunyai beberapa tema, iaitu Buterfly Aviary, Reptile Walk, Wild Photo Lane dan juga Koi Garden.

Sila kunjungi laman web rasmi Taman Rama-Rama & Reptilia Melaka untuk maklumat lanjut.

Lokasi: Ayer Keroh

Waktu Operasi: 8:30 pagi ke 5:30 petang setiap hari

Kos:

Dewasa : RM22.00

Kanak-kanak : RM16.00


Taman Buaya

Taman Buaya Melaka, Tempat Menarik di Melaka

Taman Buaya Melaka yang mula dibuka pada tahun 1987 ini telah menjadi rumah kepada lebih 100 spesies buaya seperti American alligator, Indian marsh mugger crocodile & spectacled caiman – tapi buaya darat tidak tersenarai di sini. Buaya-buaya di sini ditempatkan di dalam sangkar khas yang menyerupai keadaan habitiat asalnya. Selain itu, terdapat juga tarikan-tarikan lain di sini, seperti Malaysia in Miniature, Reptile Corner, Walkthrough Aviary, dan Mammal House.

Jika anda ingin menyaksikan pertunjukan buaya, ia hanya diadakan pada setiap hari Sabtu, Ahad, waktu cuti sekolah & cuti am sahaja bermula jam 11:30 pagi sehingga jam 2:30 petang. Sila kunjungi laman web rasmi Taman Buaya Melaka untuk info terkini.

Lokasi: Ayer Keroh (berhampiran McDonalds Lebuh Ayer Keroh)

Kos: 

Hari biasa
Dewasa: M15.00
Kanak-Kanak: RM12.00
Hujung Minggu & Cuti Sekolah
Dewasa: RM20.00

Kanak-Kanak: RM17.00

Harga Tiket Rumah Hantu (Dewasa & Kanak-Kanak): RM3.00

Harga Tiket Keretapi Raksasa (Dewasa & Kanak-Kanak):  RM3.00


Melaka Wonderland Theme Park & Resort

Melaka Wonderland, Tempat Menarik di Melaka

Melaka Wonderland Theme Park & Resort adalah salah satu daripada tempat menarik di Melaka untuk kanak-kanak. Taman tema ini mempunyai pelbagai tarikan, seperti water slidesLazy cum Crazy Pool, Adventure Island, 1 Big Wave Pool dan banyak lagi! Tempat ini juga dikelilingi hutan semulajadi yang berkeluasan 360 hektar. Oleh itu, ia adalah satu lokasi yang sangat sesuai untuk dikunjungi terutamanya ketika musim panas. Lepas basah kuyup berseronok ketika bermain air, anda bolehlah bersiar-siar sambil menikmati suasana hutan di sini.

Lokasi: Ayer Keroh

Waktu Operasi: 9:00 pagi ke 7:00 malam

Kos: Layari laman web rasmi Melaka Wonderland untuk maklumat caj terkini


Australia Village @ Masbro Village

Australia Village, Masbro Village, Tempat Menarik di Melaka

Selain daripada Bustel, Masbro Village adalah salah satu daripada lokasi penginapan ala homestay yang sangat unik di Melaka. Senibinanya yang luar biasa iaitu berbentuk segitiga diilihamkan daripada pondok-pondok tepi pantai di Australia – sebab itulah ia mendapat nama gelaran “Australia Village”. Jadi, No wonder lah tempat ini menjadi viral dan tersenarai sebagai salah satu tempat menarik di Melaka, bukan?

Setiap rumah homestay boleh memuatkan 4 ke 6 orang dewasa. Homestay ini mempuyai 2 tingkat, yang mana terdapat 1 sofa bed di tingkat bawah manakala 2 katil queen size pula disediakan di tingkat atas. Ia juga dilengkapi ruang tamu, ruang makan, perabot seperti kerusi sofa & TV, penghawa dingin, 2 bilik air berserta water heater, dan kelengkapan dapur. Nak parking kereta pun tak ada masalah kerana lokasinya yang strategik, dan homestay ini juga berpagar. Walaupun ia terletak lebih kurang 7km daripada bandar Melaka, bagi saya tetap worth it dengan pengalaman menginap di sini.

Lokasi: Taman Paya Rumput Indah (tepi jalan lebuh AMJ, berdekatan traffic light TESCO Cheng)

Kos: RM280/unit/malam


A’ Famosa Resort

A'Famosa Resort, Tempat Menarik di MelakaSiapa yang tidak tahu A’ Famosa Resort! Apa yang ada di sini? Macam-macam hado! Kalau anda masuk ke dalam, A’Famosa Resort ni dah macam satu bandar. Pernah sekali saya bersama keluarga berkunjung ke Melaka pada hujung minggu dan lepak-lepak di dalam resort ni sahaja – itu pun tidak sempat mencuba semua aktiviti di sini. Di sini terdapat Safari Wonderland (part paling best bagi saya adalah naik gajah), Water Theme Park, Cowboy Town, dan anda juga boleh melakukan aktiviti-aktiviti lain yang menarik seperti memanah, menaiki go-kart, menunggang kuda, bermain paint ballpaintball dan banyak lagi!

Penginapan pun ada banyak pilihan. Anda boleh pilih sama ada ingin menginap di resort hotel, kondominium yang dijadikan hotel (maka apabila ia bergabung, meletup seperti lagu Adam & Stacy, terjadilah “condotel“), rumah banglo mahupun villa. Terdapat ramai pelancong dari dalam & luar negara yang berkunjung ke sini untuk beristirehat dan meluangkan masa bersama keluarga.

Lokasi: Alor Gajah

Kos: Sila klik di sini untuk maklumat lengkap & terkini di laman web rasmi A’Famosa Resort.

Bonus: Freeport A’Famosa Outlet – Tempat Menarik di Melaka baru!

FAO, Freeport A'Famosa Outlet, Melaka Premium Outlet, MPO, Tempat Menarik di Melaka

Bermula tahun 2016, Freeport A’Famosa Outlet (FAO) telah dibuka untuk pelancong membeli-belah. Konsepnya sama seperti Johor Premium Outlet yang terlebih dahulu dibuka. Terdapat pelbagai brand menarik untuk dipilih, seperti Sacoor, G2000, Nike, Puma, Under Armour, Kickers, Focus Point, Melinda Looi dan banyak lagi! Harga-harga yang ditawarkan pun sememangnya berbaloi-baloi. Kat sini la saya beli kasut futsal Puma dengan harga RM79.00! Jadi, jika anda mencari tempat menarik di Melaka untuk shopping sakan, kat sini la tempatnya!

Sila layari laman web rasmi Freeport A’Famosa Outlet untuk maklumat lanjut.

Lokasi: Alor Gajah (sekiranya anda datang daripada Simpang Ampat, anda akan menjumpai FAO sebelum pintu masuk ke A’Famosa Resort.


Tempat Makan Best di Melaka 2017


Selain Melaka, terdapat juga negeri-negeri lain di dalam Malaysia yang mempunyai lokasi pelancongan yang tidak kurang menariknya. Jadi, sebelum membuat keputusan muktamad ke mana nak pergi hujung minggu ini, mungkin anda berminat membaca artikel-artikel ini juga:

Lagi topik-topik menarik untuk dibaca:

Apa kata pelancong luar negara tentang tempat menarik di Melaka? Jom tonton video ini!

 


Tempat-Tempat Menarik Lain Untuk Dikunjungi di Melaka

Kalau anda rasa 20 (+1 bonus) tempat menarik di Melaka yang disenaraikan ini tidak cukup – mana tahu, just in case anda bercuti selama seminggu, ataupun anda sudah jatuh cinta dan membuat keputusan muktamad untuk bepindah ke Melaka Pindah 🙂 (pun intended), maka anda bolehlah berkunjung ke banyak lagi tempat menarik di Melaka untuk dilawati seperti berikut:

  • Dataran Keris Alor Gajah
  • Dataran Pahlawan
  • Desa Balqis, Kuala Linggi
  • Dusun D’Paradise
  • Independence Monument Museum
  • Kampung Mortem
  • Kincir Air Kesultanan Melayu Melaka
  • Kota Belanda di Bukit St John
  • Malaqa House
  • Magic Art 3D Museum
  • Melaka Alive
  • Melaka Street Art
  • Mini Malaysia & ASEAN Cultural Park
  • Muzium Lebah Sedunia
  • Pantai Puteri
  • Pantai Tanjung Bidara
  • Pantai Pengkalan Balak
  • Pantai Padang Kemunting
  • Pantai Klebang
  • Perigi Hang Li Po
  • Planetarium
  • Straits Chinese Jewelry Museum
  • Sungai Melaka
  • Taman Burung
  • Taman Botanikal
  • The Hut, Serkam
  • The Li Chi Mao Art Museum
  • Toy Museum Melaka
  • Villa Sentosa
  • Wildlife Theatre

Panjang senarai ni, bukan? Sekiranya anda perlukan sebarang panduan, klik di sini untuk melihat peta tempat menarik di Melaka di portal rasmi kerajaan negeri Melaka.

Komen Facebook