Resdung: Kenali Penyakit ini dan Rawatannya

Resdung | Penawar Resdung Paling Berkesan

Artikel ini membincangkan sedikit sebanyak tentang penyakit resdung (“sinusitis“) dan kaedah-kaedah rawatan resdung berdasarkan pengalaman peribadi penulis sebagai penghidap penyakit ini, saranan pihak-pihak ketiga (doktor, pakar perubatan tradisional, rakan-rakan yang menghidap penyakit yang sama), dan hasil himpunan artikel-artikel daripada laman web di luar sana. Penulis telah berusaha sedaya upaya untuk menghimpunkan maklumat sebaik mungkin dengan mengambil kira keselarian maklumat di antara sumber-sumber berbeza. Namun begitu harus diingatkan kepada pembaca bahawa maklumat yang terkandung di dalam artikel ini hanya sekadar untuk tujuan perkongsian maklumat dan bukannya sebagai nasihat perubatan. Pembaca haruslah merujuk kepada pakar perubatan bertauliah untuk mengesahkan sama ada pembaca benar-benar menghidap penyakit resdung dan mendapatkan nasihat rawatan dengan betul.

Apa itu resdung?

Di bahagian muka kita, terdapat satu rongga yang dikenali sebagai sinus yang terletak pada bahagian di antara tulang muka mengelilingi hidung. Ianya terbahagi kepada empat bahagian, iaitu:

Resdung | Penawar Resdung Paling Berkesan
  • Frontal sinus;
  • Sphenoidal sinus;
  • Ethmoid sinus; dan
  • Maxillary sinus.

Resdung pula adalah sejenis penyakit yang wujud apabila berlaku keradangan pada mana-mana bahagian yang disebutkan ini.

Punca Resdung

Penyakit resdung biasanya berpunca daripada jangkitan kuman, bakteria ataupun kulat yang akan menyebabkan bahagian sinus tersebut menjadi bengkak. Bengkak ini pula akan menyebabkan aliran mukus daripada sinus ke dalam hidung dan kerongkong terhalang. Akhirnya, aliran yang terhalang inilah yang akan menyebabkan tekanan dan keradangan di dalam rongga sinus yang terjejas.

Rongga sinus yang tersumbat dan menghadapi keradangan mempunyai potensi tinggi untuk dijangkiti kuman. Di dalam sesetengah kes resdung kronik, ia juga boleh menyebabkan nanah. Sekiranya persakit tidak mendapatkan rawatan resdung dengan segera, nanah di dalam sinus boleh merebak ke bahagian lain seperti mata, yang boleh menyebabkan kebutaan malahan ia juga boleh merebak ke bahagian otak.

Tanda Tanda Resdung

Resdung boleh dikenalpasti dengan pelbagai tanda. Di antara simptom resdung yang lazim dialami seseorang yang menghidap penyakit ini adalah:

  • Demam;
  • Sakit tekak;
  • Pening kepala;
  • Saluran hidung sering tersumbat;
  • Sentiasa berasa penat dan lesu;
  • Deria rasa dan bau tidak berfungsi dengan baik;
  • Berlaku alahan;
  • Kerap bersin, terutamanya di waktu pagi dan ketika cuaca sejuk;
  • Hidung sering terasa gatal; dan
  • Terdapat lendir di dalam hidung dan tekak yang biasanya berwarna kuning pekat atau kehijau-hijauan untuk tempoh masa yang panjang.

Selain itu, jangkitan kuman pada kawasan sinus yang berlainan pula akan menyebabkan kesakitan di kawasan tertentu, iaitu:

  • Jangkitan pada maxillary sinus – Kesakitan di bahagian pipi dan bahagian atas gigi;
  • Jangkitan pada frontal sinus – Kesakitan di bahagian dahi dan atas kening mata;
  • Jangkitan pada sphenoid sinus – Kesakitan di bahagian belakang mata dan atas kepala;
  • jangkitan pada ethmoid sinus – Kesakitan di sekitar dan belakang mata.

Jadi, sekiranya anda mempunyai tanda tanda resdung seperti yang tersenarai, ada kemungkinan besar anda adalah seorang yang menghidap penyakit ini. Oleh yang demikian, anda amatlah disarankan untuk berjumpa dengan doktor ataupun pakar perbuatan tradisional untuk mengesahkannya.

Eh kejap, bagaimana pula dengan “ulat resdung”?

Biasanya apabila anda bercerita tentang penyakit resdung dengan orang lain ataupun mereka-mereka yang kononnya mengetahui sedikit sebanyak tentang resdung, pasti anda pernah diberitahu tentang adanya “ulat resdung” yang tinggal di dalam muka dan perlu dibuang.

Jangan tertipu, kerana ulat resdung bukanlah sesuatu yang benar, dan ianya cuma sebuah mitos.

Di dalam video ini contohnya, pasti akan kelihatan seperti ulat resdung keluar daripada muka ketika membuat rawatan. Namun begitu, sebenarnya kajian telahpun dibuat dan didapati bahawa ada segelintir pengamal perubatan yang tidak bertauliah dan tidak bertanggungjawab menggunakan parasit daripada lipas tanah dan banyak lagi kaedah-kaedah licik yang dipraktikkan.

Untuk menyokong perkara ini, Kementerian Penerangan Malaysia juga melalui portal PMR (Pusat Maklumat Rakyat di dalam artikel ini (sila klik link) telah mengesahkan bahawa resdung sememangnya tiada kaitan dengan ulat.

Menurut pengalaman saya bersama seorang rakan penghidap resdung pula, kami pernah pergi membuat rawatan tradisional dengan “melilin” muka dengan seorang ahli perubatan tradisional (ataupun juga dikenali sebagai “mengasap muka”). Apabila membuat rawatan tersebut, akan terlihat “ulat-ulat” kecil berwarna kekuningan yang keluar daripada muka. Walhal setelah dikaji, ianya tidak lain tidak bukan hanyalah habuk lilin yang terlekat pada muka sewaktu melilin. Tertipulah kami pada masa tersebut, siap beli selonggok lilin untuk diguna sendiri di rumah.


Loading…


Rawatan Resdung

Memandangkan anda sudah mengetahui tentang definisi dan juga setelah dikongsikan sedikit sebanyak maklumat tentang punca dan juga tanda tanda penyakit resdung, sudah pasti anda berminat untuk mengetahui kaedah rawatan resdung, bukan?

Baik, di sini saya kongsikan beberapa cara merawat resdung yang berkesan, dan ianya terbahagi kepada kaedah rawatan tradisional dan juga secara perubatan moden.

Cara Merawat Resdung Secara Tradisional

Terdapat pelbagai cara merawat dan menghilangkan resdung yang boleh dipraktikkan. Di antara penawar resdung adalah:

Cara menghilangkan resdung menggunakan daun pandan & limau nipis

Kaedah ini adalah salah satu di antara cara merawat resdung tradisional yang paling popular terutamanya ketika penyakit resdung sedang menyerang. Menerusi kaedah ini, anda perlu menyediakan 10 helai daun pandan dan 8 buah limau nipis. Kemudiannya, helaian daun pandan tersebut perlulah dihiris nipis, dan seterusnya perahkan pula limau nipis dan bijinya perlu dibuang.

Selepas itu, campurkan air limau nipis bersama daun pandan, dan ramaskan daun pandan di dalam air tersebut sehingga warnanya bertukar menjadi kehijauan. Setelah selesai (sehingga warna sudah berhenti menjadi lebih pekat), tapiskan hampas daun pandan daripada campuran air tadi, dan bilas muka anda dengan air ini. Pastikan anda mencuci dan mengeringkan muka terlebih dahulu.

Selepas dibilas dengan air campuran daun pandan dan limau nipis ini, tunggu sehingga muka anda kembali kering, dan kemudian bilaskan semula.

Banyakkan Meminum air masak

Banyakkan meminum air masak dan kurangkan pengambilan minuman bergula. Hal ini kerana zat-zat yang ada apa minuman bergula boleh menyebabkan lendir di dalam sinus menebal dan seterusnya membuatkan keradangan menjadi lebih teruk.

Amalkan pengambilan cuka epal dan madu

Cuka epal juga dapat membantu mengurangkan keradangan. Kaedah pengambilannya adalah dengan cara mencampurkan 3 sudu makan cuka epal ke dalam air suam (teh pun boleh), kemudian ditambah madu secukup rasa, dan terus diminum. Anda bolehlah meminum campuran cuka epal dan madu ini 3 kali sehari.

Amalkan pengambilan kunyit dan halia

Selain itu, kunyit juga boleh dijadikan bahan untuk merawat resdung. Hal ini kerana kunyit adalah anti-oksidan semulajadi yang bersifat anti-keradangan. Untuk mendapatkan kesan yang baik, anda perlu mencampurkan kunyit bersama halia yang dibancuh dengan teh, dan kemudian diminum. Fungsi minuman campuran kunyit dan halia ini adalah untuk membantu mencairkan hingus dan bertakung di dalam sinus dan secara langsung akan mengurangkan keradangan.

Wapkan muka dengan air hangat

Untuk mencairkan mukus di dalam sinus, anda juga boleh menggunakan wap air. Caranya adalah dengan mendidihkan air dan kemudian campurkan sedikit garam dan dibiarkan sehingga mendidih. Selepas itu, isikan di dalam bekas atau mangkuk mengikut kesesuaian dan letakkan kepala anda di atas air pada jarak lebih kurang 30cm (cukup dekat untuk muka mula mengewap tetapi tidak terlalu rapat sehingga muka terasa terlalu panas. Selepas itu, sedut wap tersebut sehingga rongga hidung terasa terbuka. Anda disarankan menggunakan tuala untuk menutup kepala supaya wap air tidak mudah hilang.

Anda digalakkan melakukan kaedah rawatan resdung ini selama 15 minit, 3 kali sehari.

Cara Merawat Resdung Secara Perubatan Moden

  • Pengambilan antibiotik (tempoh masa pengambilan berbeza mengikut tahap keseriusan penyakit dan akan disarankan oleh doktor);
  • Penggunaan ubat titis ataupun semburan hidung (decongestant);
  • Pengambilan steroid untuk mengurangkan bengkak yang menjadi punca keradangan; dan
  • Melalui pembedahan untuk kes-kes resdung kronik. Melalui kaedah ini, pakar bedah akan membuang bahagian yang menyebabkan hidung tersumbat untuk meluaskan saluran sinus, yang secara langsung akan memudahkan hingus mengalir keluar dan tidak lagi berkumpul di dalam sinus.

Cara Mengawal Resdung

Selain daripada merawat, pesakit resdung juga haruslah mengambil langkah-langkah untuk mencegah resdung daripada menyerang kembali. Di antara langkah yang perlu diambil adalah:

  • Elakkan memelihara haiwan jenis berbulu;
  • Elakkan penggunaan bantal yang dibaut menggunakan bulu haiwan;
  • Ketika membersihkan rumah, pastikan anda sentiasa memakai penutup hidung;
  • Untuk mencuci permaidani, gunakan vacuum cleaner dan elakkan menggunakan penyapu lidi dll;
  • Sentiasa mengelap muka dengan tuala basah;
  • Elakkan memakan makanan laut yang berkemungkinan menjadi punca berlaku alahan, seperti udang, kerang, sotong, dan lain-lain.

Kesimpulan

Berikut adalah maklumat tentang penyakit resdung yang diharapkan boleh dijadikan panduan untuk anda membuat penilaian awal sama ada anda perlu berjumpa doktor untuk pengesahan. Jika anda sememangnya seorang pesakit, adalah diharapkan maklumat cara-cara merawat resdung ini sedikti sebanyak dapat membantu. Namun begitu, sekali lagi diingatkan di sini supaya anda memilih untuk berjumpa pakar perubatan yang bertauliah sebelum mengambil langkah-langkah rawatan.

Baca lagi artikel menarik:

Loading…

Kalau anda sukakan artikel ini, admin mohon anda bagi rating 5 star untuk membakar semangat admin supaya menulis lagi banyak artikel bermanfaat untuk semua netizen. 🙂 Kalau anda nak kongsikan cadangan untuk jadikan artikel ni lagi best, sila berikan komen anda di bawah. Terima kasih!