Solat Dhuha Beserta Doa | Panduan Lengkap

Cara Solat Sunat Dhuha - Panduan Lengkap daripada aliff.co | Blogger Malaysia

Solat sunat dhuha adalah salah satu daripada amalan solat-solat sunat yang digalakkan untuk dilakukan. Ianya dipanggil solat dhuha kerana waktu untuk melakukan solat ini dikhususkan untuk dikerjakan pada waktu dhuha sahaja.

Di dalam artikel ini, saya ingin berkongsi kaedah amalan solat sunat Dhuha mengikut sumber-sumber sahih, termasuklah hasil rujukan buku-buku seperti “Panduan Solat Fardhu beserta Solat-Solat Sunat” hasil penulisan Ustaz Ku Muhamad Asmadi bin Ku Mohd Saad edaran Pustaka Al-Ehsan.

Daripada Abu Dzar R.A., Rasulullah ﷺ bersabda (yang bermaksud):

“Hendaklah masing-masing di antara kamu setiap pagi bersedekah untuk setiap ruas tulang badanmu. Maka tiap kali bacaan tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, dan setiap takbir adalah sedekah. Menyuruh kebaikan adalah sedekah, mencegah keburukan juga adalah sedekah. Dan sebagai ganti daripada itu semua, cukuplah mengamalkan dua rakaat solat Dhuha.”- Hadith riwayat Ahmad, Muslim dan Abu Daud

Anjuran daripada Rasulullah ﷺ untuk mengerjakan solat Dhuha sebagaimana hadith berikut yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. (yang bermaksud);

“Barang siapa yang memelihara jaminan (yang ada pada) solat Dhuha, terampunlah baginya dosa-dosa sekalipun (dosa-dosanya) umpama buih di lautan.

Waktu Solat Dhuha

Pengiraan waktu dhuha mengikut kaedah astronomi adalah berdasarkan formula waktu Syuruk ditambah 1/3 perbezaan di antara waktu Syuruk dan waktu Subuh. Secara amnya, waktu dhuha akan bermula 28 minit selepas waktu Syuruk.

Soalan: Bilakah waktu yang paling lewat untuk solat, dan bilakah ia berakhir?

Seperti diterangkan Ustaz Azhar Idrus di dalam video ini, tidak ada waktu yang dikira “lewat” untuk mengerjakan solat sunat dhuha. Ia boleh dikerjakan selagi waktu dhuha belum tamat, iaitu sebelum tergelincir matahari bersamaan masuk waktu Zohor.

Namun begitu, para ulama’ mengatakan bahawa waktu yang terbaik untuk mengerjakan solat dhuha adalah di dalam lingkungan jam 9:30 pagi.


Cara Solat Sunat Dhuha

Jumlah Rakaat

Solat ini perlu dilakukan sebanyak 2 rakaat untuk setiap kali solat, dan ianya boleh dilakukan sehingga 6 kali solat (jumlah 12 rakaat) setiap hari.

Bacaan Niat

Niat solat dhuha adalah seperti berikut:

niat solat sunat dhuha

(Rumi: Usolli sunnataddhuha rok’ataini lillahi ta’ala)

Maksud: Sahaja aku solat sunat dhuha 2 rakaat kerana Allah ta’ala.

Bacaan Surah Di Dalam Solat

Tiada penetapan khas untuk pembacaan surah bagi solat ini. Namun begitu, pembacaan surah-surah tersebut amatlah digalakkan:

Rakaat Pertama | Surah As-Shams

 surah bacaan solat dhuha

Rakaat Kedua | Surah Dhuha

surah bacaan solat dhuha

Bacaan Surah Jika Solat Melebihi 2 Rakaat

Sekiranya anda ingin melakukan lebih daripada 2 rakaat, adalah disarankan untuk membaca Surah As-Shams & Surah Dhuha untuk 2 rakaat pertama, diikuti dengan Surah Al-Kafirun & Surah Al-Ikhlas untuk rakaat-rakaat seterusnya.

Ingin saya tekankan di sini bahawa tidak ada istilah surah yang betul ataupun salah untuk dibaca ketika mengerjakan solat sunat ini. Sebaliknya, ia hanyalah pilihan di antara yang baik dengan yang lebih baik/afdhal sahaja.

Pendek kata, anda bebas memilih surah-surah lain untuk dibaca mengikut kesesuaian.

Bacaan Lain Di Dalam Solat & Bacaan Ketika Sujud Terakhir

Bacaan-bacaan lain di dalam solat ini adalah sama seperti solat biasa, kecuali pada sujud yang terakhir.

Sewaktu anda melakukan sujud terakhir, sebaik sahaja selesai membacakan tasbih sujud biasa, sebelum duduk untuk tahiyat akhir, bacalah doa ini sebanyak 40 kali:

bacaan solat sunat dhuha

(Rumi: Wahabli ya wahhab, ilman wahikmatan warzuqni ya rozzaq, kulli musahhala)

Maksudnya: Berikanlah kepadaku, wahai Tuhan Yang Maha Memberi akan ilmu dan hikmah dan murahkanlah rezeki kepadaku, wahai Tuhan Yang Maha Memberi Rezeki. Jadikanlah ia mudah bagiku.

Doa Solat Sunat Dhuha

Berikut adalah bacaan doa selepas selesai solat:

doa solat sunat dhuha

Rumi: Allahumma innaddhuhaa’a dhuhaa uka, walbahaa’a bahaa uka, waljamaala jamaaluka, walquwwata quwatuka, walqudrota qudrotuka wal’ismata ‘ismatuka.

Allahumma inkaana rizqi fissamaa’i fa’anzilhu, wa’inkaana fil ardhi fa’akhrijhu wa’in kaana mu’assiron fayassirhu, wa’in kaana harooman fathohhirhu, wa’inkaana ba’idan faqorribhu,

bihaqqi dhuhaa ika wabahaa ika wajamaalika waquwwatika waqudrotika aatini maa ataita ‘ibaadakassolihiin.

Maksudnya: Ya Allah, bahawasanya waktu dhuha itu waktu dhuhaMu, kecantikan ialah kecantikanMu, keindahan ialah keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu, kekuasaan itu kekuasaanMu, dan perlindungan itu perlindunganMu. Ya Allah, jika rezekiku masih di atas langit, turunkanlah. Jika ada di dalam bumi, keluarkanlah. Jika sukar, mudahkanlah. Jika haram, sucikanlah. Jika masih jauh, dekatkanlah. Berkat waktu dhuha, keagungan, keindahan, kekuatan, dan kekuasaanMu, limpahkanlah kepadaku segala yang telah Engkau limpahkan kepada hamba-hambaMu yang soleh.

Dengar Bacaan Doa Solat Sunat Dhuha

*Sentuh/tekan butang “play” untuk mendengar bacaan doa ini daripada kumpulan nasyid UNIC.


Kelebihan Solat Dhuha

Solat sunat dhuha adalah di antara satu jenis amalan yang boleh memberikan ganjaran kepada mereka yang mengerjakannya. Dengan bersolat, seseorang itu akan mendapat keampunan daripada Allah S.W.T. Selain itu, sepertimana yang disebut di dalam doa, si pengamal yang memperoleh rezeki yang melimpah ruah dan hati yang tenang.

Harus diingatkan di sini bahawa rezeki tidak semestinya datang di dalam bentuk wang ringgit sahaja. Ia boleh juga datang di dalam pelbagai bentuk, seperti deberikan kesihatan tubuh badan, rezeki yang sederhana menjadi cukup, mahupun perut yang tidak pernah kelaparan. Subhanallah.

Nabi Muhammad  ﷺ pernah bersabda di dalam hadith daripada Nuwas bin Sam’an:

Allah berfirman: “wahai anak-anak Adam, janganlah sekali-kali engkau malas dalam mengerjakan 4 rakaat pada permulaan waktu siang (iaitu solat dhuha), kelak pasti akanKu cukupkan keperluanmu hingga ke petang hari. (Hadith riwayat At-Tabrani)

Kerana banyaknya kelebihan solat dhuha, anda disarankan untuk menjadikan solat sunat ini sebagai rutin harian. Pada mulanya mungkin anda berasa berat untuk melakukannya namun begitu apabila anda sudah mula menjadikan solat sunat ini sebagai satu rutin seharian, anda pasti akan berasa hari anda tidak lengkap jika terlepas untuk mengerjakannya.


Anda juga mungkin berminat dengan topik-topik menarik ini:

Loading…

Nota dari Penulis

Admin berkongsi maklumat ini dengan niat ingin menyebarkan ilmu yang bermanfaat kepada rakan-rakan di luar sana yang ingin memperkasakan ibadah masing-masing. Langkah-langkah yang wajar telahpun diambil untuk memastikan kesasihan dan ketepatan maklumat ini dari segi fakta, hukum Syarak, dan Admin juga telah mengelakkan daripada penggunaan hadis-hadis yang lemah di dalam penulisan.

Namun begitu, sekiranya terdapat mana-mana bahagian daripada artikel ini yang menimbulkan kemusykilan, anda bolehlah mengutarakan pendapat anda di ruangan komen supaya tindakan yang sewajarnya (seperti semakan semula sumber maklumat) boleh diambil.

In Sha Allah, Admin mendoakan supaya anda dapat merasa kemanisan di dalam beribadah, dan semoga setiap ibadah yang anda kerjakan akan diterima oleh Allah S.W.T. Amiin.

Jika anda merasakan artikel ini sedikit sebanyak telah membantu anda, Admin ingin memohon jasa baik anda memberikan rating 5 star untuk membakar semangat Admin supaya menulis lebih banyak artikel bermanfaat untuk saudara sesama Islam. Terima kasih di atas sokongan anda, Assalamu’alaikum!

Leave a Reply