Tempat Menarik di Perak: 14 Lokasi Untuk Dilawati

Tempat Menarik di Perak

Negeri Perak Darul Ridzuan sememangnya sebuah negeri yang mempunyai tarikan tersendiri dan sangat sesuai untuk dikunjungi dan diterokai. Hal ini kerana negeri ini sangat kaya dengan keindahan alam semulajadi, peninggalan sejarah & destinasi menarik lain yang harus dikunjungi! Jadi, jom kenali beberapa tempat menarik di Perak untuk dilawati jika anda menjejakkan kaki ke negeri ini!

Tips: Setiap link lokasi akan membawa anda terus ke Google Maps untuk memudahkan anda navigate apabila berada di negeri Perak. Jadi, jangan lupa bookmark terus page ni ya! 


A. TEMPAT MENARIK DI PERAK SEKITAR IPOH

Untuk memudahkan anda, di sini saya kategorikan info tempat menarik di Perak ni kepada lokasi-lokasi di Ipoh dahulu, dan di bawah anda boleh lihat senarai untuk semua bandar atau daerah lain di sekitar negeri Perak, ya? Bukan apa, memandangkan 7 daripada 14 lokasi yang saya senaraikan ni terletak di sekitar Bandaraya Ipoh, senang sikit anda nak refer kan. Kalau tidak, ate jenuh juge nak scroll turun naik turun naik ni kome! OK, jom kita baca!


Maps Perak

Tempat Menarik di Perak | Ipoh | MAPS Perak

Dibuka secara rasmi pada 26 Jun 2017, MAPS Perak adalah taman tema animasi pertama di Asia yang mempunyai lebih 40 tarikan untuk pengunjung di sini. Di Maps Perak, anda boleh berjumpa dengan karakter-karakter kartun antarabangsa seperti The Smurfs, dan juga karakter-karakter tersohor tempatan seperti BoboiBoy dan rakan-rakan! #terbaek

Tarikan-tarikan di MAPS terbahagi kepada 5 zon utama, iaitu:

  • Animation Square
  • Blast-Off Zone
  • Fantasy Forest Zone
  • Lakeside Zone
  • Live Action Zone

Kat dalam ni ada banyak juga ride, seperti bumper car, Hyperspin, Space Explorer, dan ride yang macam Solero Shot kat Genting tu. Bukan itu saja, terletak juga banyak live performance untuk pengunjung, dan tarikan-tarikan lain seperti rumah hantu dan sebagainya (masa saya pergi, diorang baru buka Rumah Hantu Riana). Tapi personally untuk saya yang berjiwa kelajuan ni, pengalaman paling best di salah satu tempat menarik di Ipoh ni adalah pertunjukan live stunt!

Tempat Menarik di Perak | Ipoh | MAPS Perak
Brader-brader stuntman ni semua memang terbaik! Kena pulak diorang main drift pakai Nissan Skyline GTR34 idaman kalbu gua. Adeiii

Di sini pun ada banyak tempat beli makanan dan harga pun berpatutan. Jadi, takde masalah untuk bersuka ria kat sini sepanjang hari. Masa trip saya di sini, saya sempat tunggu sampai waktu petang untuk menonton sitkom. Jalan ceritanya boleh tahan, tapi apa yang best adalah barisan pelakon dan ahli kumpulan gitar rancaknya memang berbakat.

Tempat Menarik di Perak | Ipoh | MAPS Perak
Sempat tengok sitkom hantu ni, masa saya datang tu dia start pukul 4.30 petang.

Jadi, apa kata anda ke sini kalau sempat berkunjung ke Ipoh nanti?

Lokasi: Persiaran Meru Raya 3, Bandar Meru Raya, Ipoh

Waktu Operasi:

  • Ahad hingga Jumaat*: 10:00 pagi – 6:00 petang
  • Sabtu, hari cuti am & cuti persekolahan: 10:00 pagi – 10:00 malam
  • *TUTUP setiap hari Rabu & Khamis kecuali pada hari cuti am & hari cuti persekolahan

Kos: RM70 seorang (harga terkini setakat Januari 2019). Sila rujuk laman web rasmi MAPS Perak untuk harga terkini, harga pakej untuk group, promosi, dan lain-lain maklumat terkini: http://www.mapsperak.com/

Sesetengah permainan kena bayar extra, seperti Rumah Hantu Riana dan BoboiBoy punya indoor roller coaster ride dalam RM15 seorang.


Gua Kek Look Tong

Tempat Menarik di Perak | Ipoh | Gua Kek Look Tong

Sewaktu anda bersiar-siar di kawasan Ipoh, sudah pasti anda perasan bahawa terdapat banyak gunung, bukan? Jadi, Gua Kek Look Tong adalah salah satu daripada tempat menarik di Ipoh yang boleh anda kunjungi untuk melihat suasana di dalam gua. Tempat ini sebenarnya adalah tempat beribadat bagi yang beragama Buddha, namun begitu ia dibuka untuk kunjungan awam oleh kerana struktur dalaman semulajadinya yang unik dan tersendiri. Parking? Jangan risau, tempat parking luas.

Suasana di dalam gua ini amatlah memukau kerana terdapat stalagmite & stalactite (dulu zaman-zaman sekolah mesti ada belajar, kan?) yang menjadi reka bentuk yang begitu indah. Tambahan pula, suasana di dalam gua ini sememangnya nyaman.

Tempat Menarik di Perak | Ipoh | Gua Kek Look Tong

Apabila anda masuk ke dalam gua, akan ada tangga untuk ke bahagian atas. Anda bebas untuk menerokai kawasan ini – tetapi ada batasnya, ya? Sesetengah tempat akan dipagar untuk mengelakkan kanak-kanak memanjat kawasan tersebut. Anda hanya perlu berjalan terus ke atas dan anda akan menjumpai tokong-tokong Buddha yang cantik.

Kat depan bila anda jalan terus, terdapat satu kawasan yang anda kena lihat (yes, go into the light)- taman tersembunyi di sebalik gua!

Tempat Menarik di Perak | Ipoh | Gua Kek Look Tong
Taman tersembunyi di sebalik gua!

Kawasan ini sememangnya menjadi tumpuan pelancong. Ramai yang datang untuk bergambar kerana suasananya yang indah. Kepada sesiapa yang ada DSLR tu – inilah tempat korang beraksi! Selain itu, ada penduduk yang tinggal berhampiran kawasan ini juga boleh dilihat beriadah seperti berjogging kerana kawasan persekitarannya yang menyegarkan.

Lokasi: Gunung Rapat, Ipoh, Perak. Oleh kerana lokasinya sedikit terpencil, anda akan melalui kawasan perumahan & tanah perkuburan Islam sebelum tiba ke satu kawasan luas dan di situ anda akan nampak pintu gerbang ke gua ini (rujuk gambar pertama di atas).

Waktu Beroperasi: Gua ini dibuka untuk lawatan bermula jam 7:00pagi sehingga 6:00 petang setiap hari – pintu pagar akan mula ditutup pada jam 5:30 petang.

Caj masuk: Masuk adalah percuma.


Funtasy House Trick Art

Tempat Menarik di Perak | Ipoh | Funtasy House Trick Art

Kalau penat dengan outdoor activities, anda bolehlah mengunjungi Funtasy House Trick Art ini. Terdapat pelbagai hasil seni berkonsepkan “optical illusion” dan banyak lagi! Sila layari laman web Funtasy House Trick Art untuk maklumat terkini jika anda berminat untuk berkunjung ke tempat menarik di Ipoh ini.

Tempat Menarik di Perak | Ipoh | Funtasy House Trick Art
  • Lokasi: 16, Jalan Market, Ipoh.
  • Waktu Beroperasi:
    • Isnin – Jumaat: 9:00 pagi hingga 6:00 petang
    • Sabtu, Ahad & Cuti am: 9:00 pagi hingga 8:00 malam
  • Caj Masuk
    • Dewasa ( ada MyKad): RM15.00
    • Dewasa (tiada MyKad): RM19.00
    • Kanak-kanak (4-12 tahun): RM10.00
    • Pelajar (jangan lupa kad matrik): RM10.00
    • Warga emas (60 tahun ke atas): RM10.00
    • Bayi (4 tahun ke bawah): Percuma
    • OKU (sertakan kad OKU sebagai bukti): Percuma

Kong Heng Flea Market (Berdekatan Plan B)

Tempat Menarik di Perak | Ipoh | Hong Kong Flea Market

Kalau anda google “Plan B Ipoh”, apa yang akan anda jumpa adalah restoran bernama Plan B yang terletak di sini. Kalau nak diikutkan, ia adalah sebuah coffee house- kat Mid Valley pun ada. Tapi sebenarnya, Plan B disenaraikan di sini sebagai landmark bagi satu tempat menarik di Ipoh yang menjadi tarikan geng-geng photographer. Di sebalik coffee house ni, terdapat pelbagai kedai-kedai menarik di sekitarnya untuk ditinjau. Kalau anda rasa nak feeling-feeling nostalgia dengan memakan ais kepal, kat sini ada satu gerai yang agak famous, iaitu Bits & Bobs.

Selain itu, terdapat kedai-kedai lain seperti kedai gunting rambut, kedai baju & gerai-gerai menjual souvenir di yang dipanggil Kong Heng Flea Market. Barang yang dijual pun sememangnya cantik-cantik. Tapi bagi saya, apa yang unik di sini adalah landskap lokasi ini sendiri yang menggabungkan elemen moden dan nostalgia. Jadi, terjumpa & berebut tempat bergambar orang tengah buat wedding photoshoot kat area ni memang biasalah.

Tempat Menarik di Perak | Ipoh | Hong Kong Flea Market
Salah satu daripada gambar outdoor photoshoot saya dan isteri di sekitar kawasan ni. Nak letak banyak-banyak, meluat lak korang tengok nanti kan? Photographer: Airil Ezuan (@airilezuan di Instagram) – saya rekomen brader ni kalau nak buat photoshoot. Tak caya, check IG beliau!

Bangunan-Bangunan Warisan Ipoh

Tempat Menarik di Perak | Ipoh | Bangunan Warisan Ipoh

Sepertimana yang telah kita ketahui, Ipoh adalah di antara bandar yang pesat membangun (keempat terbesar di Malaysia) yang mana pembangunannya bermula apabila aktiviti pelombongan bijih timbang berkembang pesat pada waktu dahulu. Sepertimana bandar-bandar warisan lain di Malaysia seperti Melaka, terdapat beberapa bangunan warisan yang masih dikekalkan dan menjadi ikon bandar ini.

Di sini, terdapat banyak bangunan lama yang mempunyai ciri-ciri seni bina yang mempunyai pengaruh barat. Hal ini kerana Ipoh adalah pusat pentadbiran kedua di tanah Melayu sewaktu zaman penjajahan British. Di antara bangunan-bangunan warisan yang menjadi tempat menarik di Ipoh ini adalah:

  • Stesen Keretapi Ipoh
  • Gereja St. John the Divine
  • Masjid India Muslim
  • Bangunan S.P.H. De Silva
  • Mahkamah Ipoh
  • Muzium Darul Redzuan

Apa yang menariknya, bangunan-bangunan ini dijaga dengan baik dan juga masih beroperasi sehingga hari kini, seperti stesen keretapi & juga bangunan mahkamah. Anda bolehlah merujuk kepada brochure terbitan Ipoh Tourist Information Centre ini untuk mengetahui lokasi bangunan-bangunan warisan ini.

Tempat Menarik di Perak | Ipoh | Bangunan Warisan Ipoh
Tempat Menarik di Perak | Ipoh | Bangunan Warisan Ipoh
Nah, saya scan brochure ni untuk korang tengok.

Ipoh Mural Art Trail

Adakah anda pernah mendengar tentang Ernest Zacharevic? Beliau adalah artis mural sama yang lebih dikenali kerana hasil karyanya di Pulau Pinang. (Klik link di bawah untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang karya Ernest Zacharevic di Pulau Pinang di dalam artikel Tempat Menarik di Pulau Pinang). Jadi, beliau adalah salah seorang daripada artis yang telah mewujudkan karya yang juga menarik untuk tatapan mereka yang berkunjung ke Ipoh.

Sila rujuk gambar di bawah untuk mendapatkan koordinat lukisan-lukisan ini. Nanti bolehlah berselfie dan letak hashtag #ipohmali!

Tempat Menarik di Perak | Ipoh | Ipoh Mural Art Trail
Tempat Menarik di Perak | Ipoh | Ipoh Mural Art Trail

Lost World of Tambun

Tempat Menarik di Perak | Ipoh | Lost World of Tambun

Lost World of Tambun adalah salah satu daripada tempat menarik di Perak yang harus dikunjungi, tidak kiralah sama ada anda bercuti bersama keluarga, rakan-rakan, mahupun ahli-ahli Kelab Catur anda. Di sebalik patung-patung kucing & tembok besar ini, terdapat pelbagai aktiviti menarik yang boleh anda lakukan untuk bersuka-ria, seperti:

  • Lost World Water Park
  • Lost World Petting Zoo
  • Hot Spring & Spa
  • Lost World Amusement Park
  • Lost World Tiger Valley
  • Lost World Adventure Park
  • Lost World Tin Valley
Tempat Menarik di Perak | Ipoh | Lost World of Tambun
Peta Taman Tema

Punchline Lost World of Tambun:

“kami bukan sekadar sebuah taman tema; kami adalah satu destinasi.”

Saya tak mahu cerita panjang-panjang kerana anda sendiri pun tahu, kalau dah nama taman tema, memang confirm syoklah! Jadi, apa tunggu lagi??! Rancang percutian anda dan dapatkan pakej pelancongan berbaloi-baloi daripada Aliff.co sekarang! OK sorry saya main-main je.

  • Lokasi: Persiaran Lagun Sunway 1, Sunway City Ipoh
  • Waktu Beroperasi:
      • Isnin hingga Jumaat: 11:00 pagi hingga 6:00 petang
      • Sabtu & Ahad, cuti sekolah & cuti umum: 10:00 pagi hingga 6:00 petangTaman Tema Lost World of Tambun
      • *Ditutup setiap hari Selasa kecuali hari cuti persekolahan & cuti umum
    • Lost World Hot Springs & Spa by Night
      • Dibuka setiap hari bermula jam 6:00 petang hingga 11:00 malam
    • Crystal Spa Treatment
      • 12:00 tengahari hingga 11:00 malam

Sila kunjungi laman web rasmi Lost World of Tambun untuk maklumat lanjut.


Loading…


B. TEMPAT MENARIK DI PERAK DI LUAR BANDARAYA IPOH

OK, dah habis cerita tentang tempat menarik di Ipoh, meh kita explore tempat menarik di Perak di bandar-bandar dan daerah lain pulak!


Kapal Korek Tanjung Tualang (TT5)

Tempat Menarik di Perak | Kapal Korek Tanjung Tualang TT5

Bila bercerita tentang negeri Perak, sudah pasti kita tidak dapat lari daripada sejarah industri pelombongannya yang pesat sejak zaman dahulu. Ada juga yang mengatakan asal-usul nama negeri Perak itu sendiri berasal daripada warna timah, iaitu warna perak (obviously).

Di sini, terdapat satu kapal korek terakhir yang masih dikekalkan, iaitu Kapal Korek Tanjung Tualang (TT5). Kalau anda pernah membaca komik kartun hasil karya Datuk Lat iaitu Kampung Boy (oh, Datuk Lat pun berasal daripada Perak!), kapal korek ini diilustrasikan sebagai raksasa yang menakutkan. Roar!!

Tempat Menarik di Perak | Kapal Korek Tanjung Tualang TT5
Fun fact: Biasanya orang ingat yang ada kabel ni belah depan. Sebenarnya, ni bahagian belakang kapal korek. Nak tahu lebih lanjut, datang la sini.

Di antara aktiviti yang ada di sini adalah guided tour untuk melihat sendiri di dalam kapal, dan anda juga boleh belajar cara mendulang bijih timah.

Pengunjung diberi penerangan tentang sejarah industri bijih timah dan maklumat tentang fungsi-fungsi kapal korek oleh tour guide.

Oleh itu, anda digalakkan untuk berkunjung ke sini untuk melihat sendiri kapal korek yang digunakan untuk melombong bijih timah pada suatu masa dahulu. Kerajaan negeri Perak telah bertungkus lumus untuk memulihara kapal korek yang merupakan tempat menarik di Perak ini.

Tempat Menarik di Perak | Kapal Korek TT5 (Tanjung Tualang Tin Dredge Ship, Batu Gajah Perak)
Sempat posing gaya muka depan brochure masa berkunjung ke sini. hehe
  • Lokasi: Batu Gajah, Perak
  • Waktu Beroperasi: Setiap hari Rabu hingga Isnin bermula jam 9:00 pagi hingga 6:00 petang (tutup setiap hari Selasa)
  • Caj Masuk:
  • Warganegara (kena tunjuk MyKad)
    • Dewasa: RM10.00
    • Kanak-kanak: RM5.00
    • Warga Emas: RM5.00
  • Bukan Warganegara
    • Dewasa: RM20.00
    • Kanak-kanak: RM10.00
    • Warga Emas: RM10.00

Guided tour untuk masuk ke dalam kapal korek bermula 9:30 pagi, dan sesi seterusnya akan bermula setiap selang 1 jam, iaitu jam 10:30 pagi, 11:30 pagi, 12:30 tengahari, 1:30 petang, 2:30 petang, 3:30 petang, dan waktu terakhir jam 4:30 petang.

Waktu rehat pada hari Jumaat sahaja iaitu dari 12:30 tengahari ke 2:30 petang.


Kellie’s Castle

Tempat Menarik di Perak | Kellie's Castle

Kellie’s Castle adalah sebuah istana lama yang mana pembinaannya tidak sempat disiapkan. Ianya dibina oleh seorang peladang yang berasal daripada Scotland, iaitu William Kellie Smith.

Tempat Menarik di Perak | Kellie's Castle

Gambar: William Kellie Smith

(1870-1926)

Terdapat pelbagai versi cerita yang berlainan tentang kenapa istana ini dibina. Ada yang mengatakan bahawa ia dibina sebagai hadiah untuk isterinya, dan ada yang mengatakan ia sebenarnya adalah rumah untuk anaknya. Sememangnya lokasi ini adalah salah satu daripada tempat menarik di Perak yang unik dan harus dikunjungi jika anda berkesempatan.

Tempat Menarik di Perak | Kellie's Castle

Oleh kerana seni binanya yang unik, ramai pelancong yang datang bergambar dan beracah-acah model di sini, termasuklah saya sendiri.

Tempat Menarik di Perak | Kellie's Castle
Agak-agak laku tak? #jangankecam

Kawasan ini adalah luas dan anda bebas untuk menerokainya. Malahan, anda boleh naik sehingga ke puncak Kellie’s Castle yang mana anda akan dapat melihat aerial view keseluruhan lokasi ini. Namun begitu, jangan lupa untuk sentiasa berwaspada, nanti tergolek siapa nak jawab. #Safetyfirst, okay?

Tempat Menarik di Perak | Kellie's Castle

Di luar Kellie’s Castle, terdapat gerai-gerai kecil dan kafe untuk anda beristihat. Malahan, kemudahan seperti tandas dan surau juga disediakan untuk kegunaan pengunjung.

  • Lokasi: Batu Gajah, Perak
  • Waktu beroperasi: 9:00 pagi hinga 6:00 petang (waktu masuk selewat-lewatnya jam 5:30 petang)
  • Caj Masuk:
  • Warganegara (bawa MyKad sebagai bukti)
    • Dewasa: RM5.00
    • Kanak-kanak (3-12 tahun): RM3.00
    • Warga emas (60 tahun ke atas): RM4.00
  • Bukan warganegara
    • Dewasa: RM10.00
    • Kanak-kanak: RM8.00

*Tiket parkir kenderaan- RM2.00 sekali masuk.


Menara Condong Teluk Intan

Tempat Menarik di Perak | Menara Condong Teluk Intan

Menara Condong Teluk Intan adalah salah satu tarikan utama pelancong oleh kerana keunikannya yang tersendiri. Hal ini kerana ia menyerupai Menara Condong Pisa- dua-dua condong lah! Menara ini dibina pada tahun 1892 dengan tujuan untuk berfungsi sebagai tangki simpanan air. Di samping itu, oleh kerana struktur senibinanya yang agak tinggi, menara ini juga ditambahkan fungsinya dengan adanya jam yang besar pada menara ini.

Menara yang dibina dengan konsep Pagoda oleh En. Leong Choon Cheong ini lama-kelamaan mula menunjukkan tanda-tanda kecondongan. Adalah dikatakan bahawa beban air yang ditampung di dalam tangki serta kondisi tanah yang lembut telah menjadi faktor utama menara ini mula condong ke arah barat laut.

Jadi, menara ini adalah salah satu daripada tempat menarik di Perak yang wajib dikunjungi jika anda bertandang ke Teluk Intan.


Bukit Larut (Maxwell Hill)

Tempat Menarik di Perak | Bukit Larut (Maxwell Hill)

Bukit Larut atau dahulunya lebih dikenali sebagai “Maxwell Hill” adalah sebuah resort di atas bukit yang terletak lebih kurang 10km daripada bandar Taiping pada ketinggian 1036m di atas paras laut. Bukit yang menjadi tempat menarik di Perak untuk diterokai ini terletak di kawasan yang paling basah di Malaysia – maksudnya kat sini paling kerap hujan.

Nama asal Bukit Larut iaitu Maxwell Hill adalah sempena nama seorang pembantu residen British di Perak pada suatu masa dahulu, iaitu William George Maxwell. Resort yang telah wujud sejak tahun 1884 ini telah dijaga dengan rapi yang mana elemen zaman kolonial British dikekalkan sebagai salah satu daripada warisan negeri Perak.

Pengunjung yang bertandang ke Bukit Larut biasanya menggemari aktiviti mendaki bukit. Ianya kerana jarak pendakian daripada bawah sehingga ke atas Bukit Larut adalah lebih kurang 10km. Untuk mereka yang berkeinginan untuk naik ke atas tanpa perlu mendaki, terdapat juga kenderaan yang disediakan, namun ianya terhad kepada 100 tiket sehari dan ia tertakluk kepada jadual perjalanan kenderaan tersebut. Harga tiket kenderaan ini adalah RM6.00 untuk dewasa, manakala RM3.00 akan dikenakan untuk kanak-kanak.

Selain itu, anda juga boleh menginap di sini jika mahu. Oleh kerana lokasinya yang tinggi, jadi suasana di sini sememangnya nyaman dan sejuk, iaitu lebih kurang 15⁰c pada waktu siang, manakala pada waktu malam, suhu boleh mencecah 10⁰c.


Zoo Taiping & Night Safari

Tempat Menarik di Perak | Zoo Taiping

Untuk pengetahuan anda, Zoo Taiping adalah zoo yang tertua di Malaysia yang mana ia mula beroperasi pada tahun 1961. Zoo ini berkeluasan 34 ekar dan menjadi rumah kepada lebih 1300 ekor haiwan daripada sekurang-kurangnya 180 spesies yang berbeza. Zoo Taiping mempunyai tarikannya yang tersendiri, lebih-lebih lagi apabila ia mula memperkenalkan night safari. Maklumkah, terdapat juga spesies-spesies nokturnal yang hanya aktif pada waktu malam.Oleh kerana itu, Zoo Taiping secara tidak langsung boleh dikira sebagai salah satu tempat menarik di Perak yang patut dilawati pada waktu malam juga!

Tempat Menarik di Perak | Zoo Taiping
“Hai Manusia, bila awak nak datang melawat saya?” :'(

Zoo Taiping adalah lokasi yang amat sesuai untuk dikunjungi sekiranya anda bercuti di negeri Perak bersama-sama dengan ahli keluarga. Haiwan-haiwan yang ada di sana pasti akan menarik minat kanak-kanak untuk mengenali spesies-spesies seperti mamalia, amfibia malah reptilia dengan lebih dekat.

  • Lokasi: Jalan Pekeliling, Taman Tasik Taiping, Perak.
  • Waktu Beroperasi:
    • Lawatan Waktu Siang
      • Dibuka setiap hari bermula jam 8:30 pagi sehingga 6:00 petang
    • Night Safari
      • Dibuka setiap malam (termasuk cuti umum) bermula jam 8:00 malam sehingga jam 11:00 malam.
      • Untuk hari Sabtu & malam sebelum cuti am, waktu operasi disambung sehingga jam 12:00 tengah malam.
  • Caj Masuk:
    • Dewasa: RM17.00
    • Kanak-kanak: RM8.50

Sila klik di sini untuk maklumat terkini berkenaan tiket di laman web rasmi Zoo Taiping.


Teluk Batik

Tempat Menarik di Perak | Teluk Batik

Kalau anda berminat untuk ke kawasan pantai, anda boleh juga ke berkunjung ke Teluk Batik. Kat sini, airnya not bad, dan memang best untuk mandi laut.

Tempat Menarik di Perak | Teluk Batik
Anda boleh naik bot ni hanya dengan RM5 seorang untuk bersiar-siar di sekitar pantai selama 30 minit (pergi dan balik).

Ada macam-macam aktiviti boleh dibuat di samping mandi pantai, iaitu anda boleh juga naik bot untuk bersiar-siar di kawasan teluk, naik banana boat, shopping, dan macam-macam lagi. Tempat makan ada banyak kat sini, dan kemudahan awam pun lengkap.

Tempat Menarik di Perak | Teluk Batik
Harga banana boat pun lagi murah dari kat Port Dickson. Kat sini harganya cuma RM7 seorang. Nak jatuh, tak nak jatuh, boleh bagitau je kat brader tu nanti.

Taman Paya Bakau

Tempat Menarik di Perak | Taman Paya Bakau

Di kawasan berdekatan Teluk Batik, terdapat lagi satu tempat menarik untuk dikunjungi, iaitu taman paya bakau. Mula dibuka kepada pengunjung sejak tahun 1995, taman ini mempunyai laluan sepanjang 366 meter merentasi hutan paya bakau.

Tempat Menarik di Perak | Taman Paya Bakau

Jadi, kat sini anda boleh bersiar-siar untuk melihat sendiri hutan paya bakau dan juga habitat semulajadi yang ada.


Lagi Tempat Menarik di Perak Harus Dikunjungi

Anda juga boleh mengunjungi lain-lain tempat menarik di Perak, seperti:

  • Galeri Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar
  • Kota Belanda, Pulau Pangkor
  • Kompleks Sejarah Pasir Salak
  • Port Weld, Kuala Sepetang
  • Bukit Merah Laketown Resort
  • Air Terjun Lata Iskandar
  • Kolam Air Panas Ulu Slim
  • Royal Belum

Anda mungkin juga berminat untuk membaca artikel-artikel ini:

Anda sudah ada plan untuk hujung minggu atau waktu cuti nanti? Apa lagi, jom lawati tempat menarik di Perak!

Loading…

Kalau anda sukakan artikel ini, admin mohon anda bagi rating 5 star untuk membakar semangat admin supaya menulis lagi banyak artikel bermanfaat untuk semua netizen. 🙂 Kalau anda nak kongsikan cadangan untuk jadikan artikel ni lagi best, sila berikan komen anda di bawah. Terima kasih!